BELANJAWAN 2025 > BERITA

MBSA Gempur Pusat Komersial, Enam Premis Diarah Tutup

22/07/2025 09:49 PM

SHAH ALAM, 22 Julai (Bernama) -- Enam premis perniagaan di Pusat Komersial Dataran Otomobil Seksyen 15 di sini diarahkan tutup serta-merta kerana melanggar syarat lesen.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) Datuk Mohd Fauzi Mohd Yatim berkata empat daripada premis itu adalah kedai runcit manakala dua lagi merupakan restoran serta pusat cuci kenderaan.

Beliau berkata arahan penutupan dikeluarkan kerana dikendalikan warga asing, menjual haiwan hidup dan tidak mempunyai lesen perniagaan sah.

"Pemilik premis diarahkan berjumpa dengan MBSA dalam tempoh 14 hari bagi memberi penjelasan serta membuat pembetulan bagi pelanggaran syarat kepada jabatan yang berkaitan," katanya pada sidang media sejurus operasi berakhir hari ini.

Beliau berkata keseluruhannya 89 premis perniagaan di Jalan Pahat H dan J diperiksa dalam operasi bersepadu bersama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Selangor.

Mohd Fauzi berkata tindakan berkenaan dilaksanakan mengikut Undang-Undang Kecil Pelesenan Establisymen Makanan (MBSA) 2007 dan Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (MBSA) 2007.

Terdahulu, operasi hampir dua jam melibatkan seramai 150 anggota dan pegawai MBSA itu turut disertai 27 anggota dan pegawai JIM diketuai Timbalan Pengarah (Kawalan) JIM Selangor Mohmad Khusairi Kamarudin.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan