BELANJAWAN 2025 > BERITA

Air India Selesai Pemeriksaan Suis Bahan Api Pesawat Boeing Susulan Laporan Nahas

22/07/2025 08:55 PM

NEW DELHI, 22 Julai (Bernama) -- Air India pada Selasa memaklumkan bahawa pihaknya telah menyelesaikan pemeriksaan suis bahan api ke atas semua pesawat Boeing 787 dan Boeing 737 miliknya seperti yang diarahkan oleh badan kawal selia penerbangan India.

Satu laporan awal bulan ini mengenai nahas pesawat Air India Boeing 787 Dreamliner pada 12 Jun mendapati bekalan bahan api ke kedua-dua enjin terputus secara tiba-tiba beberapa saat sebelum pesawat itu terhempas sejurus selepas berlepas dari Lapangan Terbang Ahmedabad di negeri Gujarat.

“Air India telah menyelesaikan pemeriksaan langkah berjaga-jaga terhadap mekanisme kunci Suis Kawalan Bahan Api (FCS) ke atas semua pesawat Boeing 787 dan Boeing 737 dalam armadanya. Pesawat Boeing 737 merupakan sebahagian daripada armada Air India Express, anak syarikat tambang murah Air India.

“Dengan ini, kedua-dua syarikat penerbangan itu telah mematuhi arahan DGCA (Direktorat Jeneral Penerbangan Awam) yang dikeluarkan pada 14 Julai 2025,” menurut syarikat penerbangan itu dalam satu kenyataan.

“Dalam pemeriksaan itu, tiada sebarang isu ditemukan pada mekanisme kunci berkenaan,” tambah kenyataan itu.

Penerbangan AI171 ke London yang membawa 242 orang terhempas di sebuah bangunan kolej perubatan.

Semua yang berada di dalam pesawat maut kecuali seorang penumpang dalam nahas itu, dengan jumlah keseluruhan korban termasuk mangsa di darat adalah seramai 260 orang.

Laporan awal mendapati pesawat itu mula kehilangan altitud sebelum melepasi tembok perimeter lapangan terbang.

“Dalam rakaman suara kokpit, seorang juruterbang kedengaran bertanya kepada seorang lagi mengapa dia mematikan suis. Juruterbang itu menjawab bahawa dia tidak berbuat demikian,” menurut laporan yang dikeluarkan oleh Biro Penyiasatan Kemalangan Udara India (AAIB).

The Wall Street Journal, yang memetik sumber yang biasa dengan penilaian awal data oleh pegawai Amerika Syarikat, melaporkan pada 16 Julai bahawa rakaman kotak hitam perbualan antara dua juruterbang menunjukkan kapten yang menukar suis daripada tetapan “run” kepada “cutoff”.

Reuters turut melaporkan perkara sama sehari kemudian, yang juga menunjukkan bahawa kapten yang menghentikan aliran bahan api.

Persekutuan Juruterbang India telah menghantar notis undang-undang kepada kedua-dua organisasi media itu, menyifatkan laporan itu sebagai “tidak bertanggungjawab” dan “bersifat spekulatif”.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan