BELANJAWAN 2025 > BERITA

Untung Bersih Pavilion REIT Naik Kepada RM78.66 Juta Dalam Suku Kedua

22/07/2025 09:10 PM

KUALA LUMPUR, 22 Julai (Bernama) -- Pavilion Real Estate Investment Trust (Pavilion REIT) mencatatkan keuntungan bersih lebih tinggi sebanyak RM78.66 juta pada suku kedua berakhir 30 Jun, 2025 berbanding keuntungan bersih berjumlah RM67.12 juta pada suku yang sama tahun sebelumnya.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, syarikat itu berkata perolehan turut meningkat kepada RM213.34 juta daripada RM201.30 juta tahun lepas.

Katanya, peningkatan itu terutamanya disumbangkan oleh Pavilion Bukit Jalil, didorong oleh kadar penghunian yang lebih tinggi dan pendapatan yang dijana daripada pusat pameran serta ruang pengiklanannya.

Bagi separuh pertama 2025, keuntungan bersih Pavilion REIT meningkat kepada RM169.08 juta berbanding RM150.28 juta tahun sebelumnya, manakala perolehan turut mengukuh kepada RM441.52 juta berbanding RM419.82 juta sebelumnya.

Syarikat itu berkata, prestasi yang lebih baik itu didorong oleh pendapatan pengiklanan yang lebih baik, dijana daripada skrin diod pancaran cahaya (LED) yang dinaik taraf di Elite Pavilion Mall.

Mengulas mengenai prospeknya, Pavilion REIT berkata permintaan tempatan yang berdaya tahan dijangka memacu pertumbuhannya, didorong oleh pengukuhan pasaran buruh, penetapan dasar akomodatif dan pemulihan sektor pelancongan.

“Perniagaan dalam industri runcit mengambil langkah berhati-hati, berikutan tekanan kos kekal tinggi dengan cukai perkhidmatan yang dikenakan ke atas penyewaan dan pemajakan ruang komersial, gaji minimum yang lebih tinggi dan langkah rasionalisasi subsidi, yang akan mengurangkan margin operasi.

“Walaupun berdepan faktor ini, Pavilion REIT Management Sdn Bhd akan meneruskan pengurusan proaktif dalam pelaburan hartanah Pavilion REIT untuk memberikan pemegang unitnya pengagihan yang stabil,” katanya.

Sementara itu, dalam makluman berasingan, syarikat itu mengumumkan pengagihan pendapatan interim sebanyak 0.32 sen seunit bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2025, terdiri daripada 0.31 sen seunit yang boleh dikenakan cukai dan 0.01 sen seunit tidak dikenakan cukai.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan