BEIJING, 22 Julai (Bernama-CMG) -- China terus menarik minat syarikat multinasional (MNC) yang ingin meneroka peluang pelaburan dan mengembangkan operasi perniagaan, didorong oleh kelebihan negara itu dalam skala pasaran, rantaian bekalan dan perindustrian yang mantap serta kemajuan dalam inovasi.
Statistik terkini dikeluarkan hujung Jun menunjukkan China menerima aliran masuk pelaburan asing berjumlah US$700 bilion, melebihi matlamat yang disasarkan sepanjang pelaksanaan Rancangan Lima Tahun (FYP) ke-14 (2021-2025).
Dalam tempoh FYP ke-14, syarikat asing di China menyumbang sebanyak satu pertiga nilai import dan eksport serta satu perempat daripada nilai tambah sektor perindustrian seluruh negara, selain mencipta lebih daripada 30 juta peluang pekerjaan.
Dalam tempoh sama, struktur penggunaan modal asing oleh China terus dioptimumkan dengan peningkatan ketara dari segi kualiti pelaburan.
Semakin banyak MNC menubuhkan ibu pejabat serantau dan pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D) global di China.
Pada 2024, aliran masuk pelaburan dalam industri berteknologi tinggi mencatat kadar 34.6 peratus, peningkatan sebanyak enam mata peratusan berbanding 2020.
China memperkukuh tekad dan usaha dalam menambah baik persekitaran perniagaan dan memperkasa keterbukaan pada tahap tinggi.
Susulan itu, senarai negatif mengenai akses modal asing di China terus dikurangkan, manakala sekatan terhadap akses pelaburan asing dalam sektor pembuatan telah ditarik balik.
Kini, beberapa program rintis sedang dilaksanakan secara berperingkat bagi membuka sektor perkhidmatan termasuk telekomunikasi nilai tambah dan bioteknologi kepada pelabur asing.
-- BERNAMA-CMG
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial