BELANJAWAN 2025 > BERITA

Wasco Santuni Hampir 12,000 Individu Seluruh Dunia Sepanjang 2024, Terima Anugerah CSR

24/07/2025 07:29 PM

KUALA LUMPUR, 24 Julai (Bernama) -- Wasco Berhad melabur hampir RM800,000 dalam inisiatif berfokuskan komuniti dan alam sekitar sepanjang tahun 2024, yang memberi manfaat kepada kira-kira 12,000 individu merentas lokasi operasinya di seluruh dunia.

Sebagai pengiktirafan terhadap usaha-usaha berkenaan, Wasco merangkul Anugerah Syarikat Terbaik (Penyelesaian Tenaga) bagi Anugerah Kelestarian dan CSR Malaysia 2025 yang berlangsung di sini baru-baru ini.

“Anugerah ini memperkukuh komitmen berterusan Kumpulan terhadap pembangunan komuniti jangka panjang dan pemeliharaan alam sekitar,” menurut Wasco dalam kenyataan hari ini.

Anugerah berkenaan diterima Ahli Lembaga Pengarah Wasco merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kelestarian Lembaga Pengarah Lily Rozita Mohamad Khairi, bagi pihak Kumpulan.

Inisiatif Kumpulan ini, yang dilaksanakan di Malaysia, Tanzania, Qatar, Emiriah Arab Bersatu, Singapura dan Indonesia bertumpu kepada tiga bidang utama iaitu penjagaan kesihatan, kemanusiaan dan alam sekitar.

Secara keseluruhan, Wasco memaklumkan sebanyak 55 program telah dijalankan, melibatkan kerja-kerja naik taraf infrastruktur sekolah, pemeriksaan kesihatan, kempen derma darah dan vaksinasi, agihan makanan, bantuan bencana, khidmat sosial serta kempen ekonomi kitaran semula.

Penyertaan warga kerja Wasco memainkan peranan penting dalam menjayakan impak ini. Sepanjang 2024, warga kerja Wasco telah menyumbang lebih 11,800 jam sukarelawan, mencerminkan budaya kerja berteraskan nilai dan kesungguhan untuk mencipta perubahan yang bermanfaat.

Dalam kenyataan sama, Ketua Pegawai Strategi Wasco Ariesza Noor berkata tanggungjawab korporat adalah sebahagian daripada DNA mereka, sekali gus berjanji untuk memberikan nilai yang bermanfaat dan terukur kepada komuniti, alam sekitar dan kemajuan bersama.

“Anugerah ini mengukuhkan keyakinan kami bahawa kelestarian adalah paling berkesan apabila digerakkan oleh tenaga insan. Kami akan terus mempertingkatkan usaha ini selaras dengan agenda Kelestarian, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) Kumpulan,” katanya.

Menurut kenyataan itu, inisiatif impak sosial Wasco menyokong Rangka Kerja Kelestarian Kumpulan dan selari dengan Rancangan Malaysia Ke-12, Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) serta beberapa Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan