KUALA LUMPUR, 22 Julai (Bernama) -- Pertubuhan Malaysian Humanitarian Aid and Relief (MAHAR) mengecam penggunaan berterusan kelaparan, sekatan serta mekanisme bantuan ditenterakan di Gaza, dan menggesa tindakan antarabangsa segera bagi menamatkan penderitaan penduduk di wilayah itu.
Dalam satu kenyataan, MAHAR berkata krisis kemanusiaan yang semakin meruncing, diburukkan lagi oleh Yayasan Kemanusiaan Gaza (GHF) dengan sokongan pihak luar, telah mengakibatkan kebuluran buatan, kekurangan zat makanan dalam kalangan kanak-kanak dan ratusan kematian di tapak bantuan yang digelar sebagai “tapak bantuan.”
Penasihat MAHAR, Nurul Izzah Anwar berkata bantuan kemanusiaan sebenar mestilah disalurkan tanpa syarat serta bebas daripada paksaan atau kawalan ketenteraan.
“Apa yang sedang berlaku di Gaza merupakan penghakisan nilai kemanusiaan secara kejam. Masyarakat antarabangsa mesti bertindak sekarang kerana berdiam diri bermakna bersubahat,” katanya dalam kenyataan itu.
Sementara itu, Presiden MAHAR Jismi Johari berkata penderitaan rakyat Palestin tidak boleh dibiarkan berterusan atas nama bantuan kemanusiaan yang dikawal.
“GHF telah merampas maruah orang awam dan menjadikan bantuan sebagai senjata ketakutan. MAHAR berpendirian teguh menyokong pemulihan penuh akses kepada usaha bantuan diselaraskan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan pembukaan semula semua lintasan darat bagi bantuan kemanusiaan yang selamat dan tidak disekat,” katanya.
MAHAR turut menyertai gesaan antarabangsa agar sistem GHF dimansuhkan segera, operasi bantuan dikembalikan semula kepada kendalian PBB, dan semua lintasan sempadan dibuka semula bagi penghantaran bantuan yang selamat dan lancar.
Sebagai tanda solidariti penuh dengan rakyat Palestin, MAHAR menolak tindakan penurunan bantuan dari udara ke Gaza, dengan alasan kawalan ruang udara oleh Israel serta kebimbangan terhadap keselamatan dan keberkesanan kaedah itu.
“Beberapa insiden lepas menyaksikan orang awam maut akibat dihempap semasa cuba mendapatkan bantuan. Dalam beberapa kes, bantuan itu jatuh di kawasan ditenterakan, mendedahkan orang awam yang terdesak kepada tembakan penembak tepat - sama seperti risiko maut yang dilaporkan di tapak kawalan GHF,” katanya.
MAHAR turut menggesa masyarakat antarabangsa agar menegakkan undang-undang kemanusiaan antarabangsa, menolak sikap bersubahat atau berdiam diri terhadap penggunaan kebuluran sebagai senjata perang serta menuntut akses kemanusiaan tanpa sekatan melalui koridor darat yang selamat dan saluran rasmi PBB.
--BERNAMA
TAG: Gaza, MAHAR, Palestin, Nurul Izzah Anwar, bantuan
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial