MELAKA, 22 Julai (Bernama) -- Kerajaan Persekutuan meluluskan 18 permohonan membabitkan peruntukan berjumlah RM940,000 bagi pembangunan projek-projek kecil Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang dimohon oleh kerajaan Melaka pada tahun ini.
Exco Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri V.P. Shanmugam berkata ia merupakan sebahagian daripada 133 permohonan dikemukakan kerajaan negeri bagi keperluan pembaikan dan naik taraf kemudahan dan fasiliti sukan daripada 28 Pejabat Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) untuk pertimbangan KBS.
“Peruntukan ini akan disalurkan kepada Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) serta pihak berkuasa tempatan (PBT) yang berkaitan selaku tuan tanah bagi tapak kemudahan sukan yang diluluskan.
“Justeru itu, saya amat berharap agar semua PDT dan PBT yang terlibat dapat memberikan kerjasama kepada Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Melaka untuk memastikan peruntukan tersebut dapat disalurkan dengan kadar segera dan seterusnya membolehkan kerja-kerja pembaikan dan naik taraf dapat dilaksanakan dalam masa terdekat,” katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka di Seri Negeri di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan dikemukakan Datuk Zahari Abd Kalil (BN-Durian Tunggal) yang mahu tahu bila kerja-kerja penyelenggaraan dan kemudahan awam sukan seperti gelanggang futsal dan padang awam akan dilaksanakan.
Sementara itu Shanmugam berkata kerajaan Persekutuan melalui KBS bukan sahaja membantu memberikan peruntukan di bawah projek-projek kecil malah beberapa projek besar di bawah Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK12).
Beliau berkata antaranya membabitkan Projek Menaik Taraf Padang Bola Sepak kepada Padang Bola Sepak Sintetik Di Kompleks Belia dan Sukan Melaka, Projek Menaik Taraf Kompleks Sukan Komuniti Krubong Melaka dan Menaik Taraf Padang Hoki Stadium Hoki Bandaraya Bukit Serindit.
Selain itu menaik taraf Dewan Badminton Majlis Sukan Negeri (MSN) Melaka, naik taraf kemudahan di Pusat Latihan Parahu Layar Mukim Kuala Sungai Baru Alor Gajah serta Membina dan Menyiapkan Kompleks Sukan Mini dan lain-lain Kerja Yang Berkaitan di Bemban Jasin.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial