KUALA LUMPUR, 21 Julai (Bernama) -- Kerajaan disyor untuk menubuhkan sebuah agensi kepercayaan kredit atau kredit skor bagi mengawal selia kelayakan pengguna untuk membuat pinjaman wang.
Sim Tze Tzin (PH-Bayan Baru) berkata cadangan itu bertujuan membantu mengurangkan tekanan kewangan pengguna sekali gus mengurangkan peminjaman wang daripada peminjam wang tidak berlesen atau sindiket along.
“Walaupun di Malaysia kita mempunyai agensi pelaporan kredit seperti CTOS (Credit Tip-Off Service), rata-rata rakyat tidak faham tentang kredit skor dan mengetahui kredit skor diri sendiri.
“Oleh itu, kepercayaan kredit atau kredit skor yang telus dapat menentukan displin peminjam yang baik serta ditawarkan fasiliti kewangan yang lain seperti kad kredit, pinjaman peribadi dan lain-lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika Perbahasan Rang Undang-Undang Kredit Pengguna (RUUKP) 2025 untuk bacaan kali kedua di Dewan Rakyat, di sini hari ini.
Sementara itu, Rodiyah Sapiee (PH-Batang Sdong) mencadangakan agar kerajaan menubuhkan sebuah pusat data khas 'Beli Sekarang, Bayar Kemudian' (BNPL) bagi memastikan keberkesanan instrumen mikro itu terpelihara.
“Semua maklumat berkaitan BNPL dikumpulkan dalam satu pusat data khas yang tidak digabungkan atau dilaporkan dalam sistem kredit konvesional seperti Central Credit Reference Information System (CCRIS).
“Ia kerana CCRIS dikaitkan langsung dengan kelayakan pinjaman yang besar seperti pinjaman perumahan dan kenderaan, dan jika BNPL dimasukkan ke dalam sistem ini, ia boleh menjejaskan peluang pengguna berpandapatan rendah untuk mendapatkan pembiayaan masa hadapan,” katanya.
Dalam masa yang sama, beliau turut berkata pusat data khas ini dapat diwujudkan di bawah Suruhanjaya Kredit Pengguna (SKP) bagi membolehkan pemantauan risiko kredit BNPL secara khusus termasuk had pendedahan pengguna dan kelakuan pembayaran tanpa menganggu rekod kewangan utama.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial