BELANJAWAN 2025 > BERITA

Hanya Peniaga India Tempatan Dibenar Berniaga Di Karnival Menjelang Deepavali - Chow

21/07/2025 06:55 PM

GEORGE TOWN, 21 Julai (Bernama) -- Kerajaan Pulau Pinang telah menetapkan garis panduan atau dasar hanya peniaga India di negeri itu sahaja boleh berniaga dalam penganjuran karnival jualan menjelang musim perayaan Deepavali demi melindungi kepentingan peniaga tempatan.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata dasar itu dilaksanakan sejak lima tahun lepas, susulan rungutan peniaga India tempatan dan representasi daripada Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Pulau Pinang (PICCI) berhubung kebanjiran peniaga luar termasuk dari luar negeri menawarkan harga lebih murah.

“Alasan utama ialah peniaga tempatan menetap dan berniaga di sini sepanjang tahun (dan) mereka perlu membayar sewa, cukai serta gaji pekerja namun bukan setiap bulan mendapat hasil perniagaan yang baik. Mereka menunggu musim perayaan (Deepavali) untuk meraih pendapatan lebih baik.

“Jadi musim kemuncak seperti menjelang Deepavali, hanya peniaga tempatan dibenarkan untuk memohon berniaga di karnival jualan, fiesta atau sebagainya kerana kami mahu menjaga kepentingan mereka,” katanya pada sidang media Siri Video Pendek Penang 2030 di Komtar di sini hari ini.

Chow berkata peniaga dari luar bagaimanapun masih dibenarkan menjalankan perniagaan atau menganjurkan karnival ketika bukan waktu atau musim kemuncak sambutan perayaan Deepavali.

Beliau berkatap elaksanaan dasar itu hanya terpakai kepada peniaga yang menganjurkan karnival dan jualan sempena sambutan kaum India, kerana aduan diterima hanya tertumpu kepada sektor tersebut.

Beliau juga mengakui terdapat cubaan memohon permit berniaga menggunakan nama individu tempatan sedangkan operasi sebenar dijalankan peniaga luar, yang turut memberi tekanan kepada peniaga tempatan terlibat. 

Chow berkata demikian bagi mengulas laporan akhbar baru-baru ini, berhubung tindakan penguat kuasa Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) mengeluarkan saman kepada peniaga dari luar negeri di sebuah karnival perniagaan masyarakat India di Bukit Mertajam, dekat sini. 

Sementara itu, MBSP dalam kenyataan memaklumkan tidak menghalang atau menyekat penganjuran karnival jualan termasuk sempena perayaan masyarakat India, namun terdapat penetapan garis panduan bagi mengawal kemasukan penganjur dan peniaga luar Pulau Pinang khususnya pada waktu tertentu dalam setahun.

MBSP memaklumkan langkah itu bertujuan melindungi kelangsungan dan kepentingan peniaga tempatan, yang telah menyuarakan kebimbangan mengenai saingan tidak seimbang daripada peniaga luar yang terlibat secara kerap dan meluas.

“MBSP menerima aduan berulang daripada persatuan peniaga tempatan khususnya daripada kalangan peniaga komuniti India, yang merasakan peluang perniagaan semakin terhad akibat lambakan penganjur dan peniaga luar mendominasi ruang perniagaan sempena karnival kebudayaan dan keagamaan.

“Sehubungan itu, satu pendekatan telah diambil iaitu peniaga dan penganjur dari luar Pulau Pinang hanya dibenarkan terlibat dalam penganjuran dan aktiviti perniagaan di negeri ini dalam tempoh antara 1 April hingga 30 Jun setiap tahun,” menurut kenyataan itu.

MBSP menegaskan dasar itu tidak bersifat diskriminasi kaum atau menekan mana-mana komuniti sebaliknya merupakan usaha menjaga kebajikan dan memastikan peniaga tempatan, terutamanya peniaga kecil dalam komuniti India di Pulau Pinang terus berdaya saing dalam suasana ekonomi mencabar masa kini.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan