BELANJAWAN 2025 > BERITA

Malaysia Sedia Jadi Hab Penjagaan Kesihatan Utama - MBSB IB

21/07/2025 03:10 PM

KUALA LUMPUR, 21 Julai (Bernama) -- Malaysia sudah bersedia untuk menjadi hab penjagaan kesihatan utama, dipacu oleh penjagaan berkualiti, teknologi semakin maju dan pertumbuhan sektor hospitaliti, kata MBSB Investment Bank Bhd (MBSB IB).

MBSB IB dalam nota penyelidikan hari ini berkata sektor penjagaan kesihatan menjalani peralihan berikutan keperluan penjagaan kesihatan negara yang semakin berkembang.

“Malaysia semakin maju, beralih daripada status negara membangun kepada negara berpendapatan tinggi dan sistem penjagaan kesihatannya sedang menghadapi cabaran dalam proses peralihan berkenaan.

"Peralihan epidemiologi daripada penyakit berjangkit kepada penyakit tidak berjangkit, ditambah pula dengan populasi semakin menua, mencerminkan masyarakat matang yang kini menghadapi penyakit kemewahan dan gaya hidup," katanya.

Masyarakat matang bermaksud masyarakat telah mencapai pencapaian pembangunan atau sosial tertentu.

MBSB IB berkata cabaran bukan lagi semata-mata mengenai akses asas, sebahagian besarnya telah dicapai di Semenanjung Malaysia tetapi kini ia melibatkan kualiti, kecekapan, ekuiti dan kemampanan dalam persekitaran peningkatan kos dan permintaan.

Malaysia tidak berpegang kepada satu model ideologi tunggal, sama ada awam atau swasta sepenuhnya tetapi sebaliknya mengamalkan sistem dua peringkat pragmatik dengan peningkatan perkongsian awam-swasta, katanya.

Ia berkata sokongan kerajaan yang kukuh membentuk tulang belakang sektor itu.

“Subsidi besar kerajaan secara berterusan untuk penjagaan kesihatan awam dan usaha aktifnya untuk liputan kesihatan sejagat melalui pelbagai inisiatif seperti PeKaB40, Skim Perubatan Madani, dan Tabung Kesihatan Nasional, menunjukkan komitmen kukuh untuk memastikan penjagaan kesihatan kekal sebagai hak untuk semua rakyat bukan semata-mata satu keistimewaan.

"Ini dicerminkan dalam peruntukan Belanjawan 2025 sebanyak RM45.3 bilion untuk sektor penjagaan kesihatan domestik. Kesediaan untuk menangani perbelanjaan luar yang tinggi juga menekankan tumpuan kepada perlindungan risiko kewangan untuk populasi," katanya.

MBSB IB juga berkata fokus Kementerian Kesihatan terhadap pendigitalan, analitik data dan penjagaan kesihatan berasaskan nilai, menunjukkan pendekatan berpandangan ke hadapan, mengiktiraf bahawa teknologi dan kecekapan adalah penting untuk kemampanan jangka panjang.

"Malaysia juga memanfaatkan penjagaan kesihatan sebagai enjin ekonomi. Selain menyediakan penjagaan untuk rakyatnya, negara secara aktif mempromosikan ia sebagai destinasi penjagaan kesihatan terkemuka.

“Ketika berita ini ditulis, Malaysia telah dinamakan destinasi nombor satu untuk pelancongan perubatan, menjana pendapatan tahunan lebih RM2 bilion secara purata dengan lebih 1.3 bilion pesakit asing mendapatkan rawatan dan pembedahan di kemudahan disediakan negara,” katanya.

MBSB IB berkata pemahaman mengenai peranan dwi penjagaan kesihatan sebagai perkhidmatan sosial yang penting dan penyumbang utama kepada ekonomi negara menerusi pendapatan pertukaran asing dan penciptaan pekerjaan bernilai tinggi.

“Aspek hab halal global menunjukkan pendekatan pemasaran khusus strategik, memenuhi demografi global tertentu,” katanya.

MBSB IB mengekalkan pendirian positif untuk sektor tersebut dan telah menaik taraf KPJ Healthcare kepada saranan ‘beli’ dengan harga sasaran RM3.02 berdasarkan kehadiran pasaran kukuh kumpulan itu, inisiatif pertumbuhan strategik dan prestasi kewangan yang bertambah baik sebagai kelebihan utama.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan