KUALA LUMPUR, 19 Julai (Bernama) -- Skuad badminton remaja negara meneruskan langkah cemerlang apabila mara ke suku akhir acara berpasukan campuran Kejohanan Badminton Remaja Asia (BAJC) 2025 selepas menewaskan Myanmar dan Singapura dalam saingan Kumpulan B di Solo, Indonesia, hari ini.
Dalam aksi yang berlangsung di Stadium Tertutup Manahan, Malaysia mudah mengatasi Myanmar 110-52 pada perlawanan sebelah pagi, sebelum melakar kemenangan kedua dengan menundukkan Singapura 110-58 pada sesi petang.
Dua kemenangan itu meletakkan skuad negara di landasan terbaik untuk memburu gelaran juara kumpulan dan seterusnya layak ke peringkat kalah mati.
BAJC tahun ini menggunakan format baharu yang menyaksikan setiap pasukan perlu melengkapkan 10 perlawanan – dua perlawanan bagi setiap kategori: perseorangan lelaki, perseorangan wanita, beregu lelaki, beregu wanita dan beregu campuran.
Setiap perlawanan dimainkan sehingga 11 mata dan pasukan pertama yang mengumpul 110 mata akan dinobatkan sebagai pemenang.
Malaysia kini berada di kedudukan kedua Kumpulan B selepas mencatat tiga kemenangan dan akan bertemu Indonesia, selaku pendahulu kumpulan, esok bagi menentukan juara kumpulan.
Hanya dua pasukan teratas kumpulan akan mara ke saingan suku akhir.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial