BELANJAWAN 2025 > BERITA

WUG 2025: Tuah Undian, Kem Badminton Berpeluang Cerah Raih Pingat

18/07/2025 11:53 PM

Daripada Ahmad Nazrin Syahmi Mohamad Arif

ESSEN (Jerman), 18 Julai (Bernama) -- Malaysia memiliki peluang cerah untuk meraih pingat dalam acara badminton berpasukan campuran Sukan Universiti Dunia (WUG) Rhine-Ruhr 2025 selepas undian pusingan 16 terbaik dilihat memihak kem negara.

Skuad bimbingan legenda tanah air Datuk Rashid Sidek itu yang mengungguli saingan Kumpulan D akan bertemu naib juara Kumpulan C Perancis di Westenergie Sporthalle di Mulheim an der Ruhr esok.

Sekiranya menang, pasukan negara akan menentang antara Amerika Syarikat atau India di suku akhir sebelum dijangka berdepan cabaran hebat Jepun atau Taiwan di separuh akhir.

Laluan mudah pada peringkat awal pusingan kalah mati dilihat mampu membantu Malaysia mendapatkan kecergasan perlawanan yang ideal selepas hanya bermain satu perlawanan kumpulan dengan menjinakkan Kanada 4-1 hari ini.

Kem badminton negara menyasarkan untuk memperbaiki kutipan dua pingat gangsa yang diraih pada edisi lepas dengan mengintai antaranya untuk membawa pulang sebutir perak.

Dalam saingan WUG hari ini, jaguh renang negara Khiew Hoe Yean meneruskan momentum cemerlang selepas melayakkan diri ke peringkat separuh akhir acara 200 meter (m) gaya bebas lelaki pada aksi di Schwimm-und Sprunghalle im Europasportpark di Berlin.

Hoe Yean yang masih segar dengan kejayaan merangkul perak dalam acara 400m gaya bebas semalam, menamatkan saringan enam di tempat ketiga dengan catatan masa 1 minit 48.68 saat (s).

Mengikuti jejak langkah Hoe Yean ke separuh akhir adalah rakan sepasukan Arvin Shaun Singh Chahal selepas menamatkan saringan lapan di tempat keenam dengan catatan 1:49.66s.

Aksi separuh akhir dijadual berlangsung pada sebelah malam (awal pagi Sabtu waktu Malaysia).

Sementara itu, dalam saingan taekwando, trio poomsae berpasukan lelaki negara Randy Owen Augustine Linggi, Chin Ken Haw dan Jason Loo Jun Wei menamatkan aksi final di kedudukan keenam dengan Korea Selatan menyambar emas, China (perak) dan Taiwan membawa pulang gangsa.

Bagaimanapun, pencapaian ke final boleh diterima memandangkan ini merupakan kali pertama Malaysia menghantar penyertaan dalam acara berkenaan.

Dalam pada itu, Korea Selatan mendominasi carta kedudukan pingat dengan mengumpul tiga emas, tiga perak dan satu gangsa diikuti Amerika Syarikat 3-1-6 dan China 2-3-2, setakat 5 petang waktu tempatan (11 malam waktu Malaysia).

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan