BATU KAWAN, 18 Julai (Bernama) -- Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) antara 27 rakan strategik yang diraikan sempena Sambutan Minggu Perpaduan (SMP) 2025 Peringkat Kebangsaan, malam ini.
Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang menyampaikan sijil penghargaan kepada rakan strategik termasuk syarikat swasta, agensi, badan bukan kerajaan dan pengusaha perniagaan bagi menghargai sokongan dan komitmen mereka yang telah bersama-sama mempromosikan sekali gus menyemarakkan SMP tahun ini.
Ketua Biro Pulau Pinang R.Ratcharathan mewakili Bernama bagi menerima sijil penghargaan pada Sesi Penyerahan Sijil Penghargaan Rakan Perpaduan di pekarangan Stadium Batu Kawan, di sini.
Menurut Kementerian Perpaduan Negara (KPN) terdapat pelbagai bentuk kerjasama dan bantuan yang telah diberikan oleh rakan strategik antaranya hebahan poster program di premis masing-masing, lebuh raya, papan iklan dan media sosial, pemberian diskaun tiket ke kawasan tumpuan pelancong, tiket cabutan bertuah dan kemudahan serta diskaun pengangkutan awam.
Selain Bernama, turut menerima sijil penghargaan pada malam ini Jabatan Penerangan Malaysia, Radio Televisyen Malaysia (RTM), Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Kementerian Kerja Raya (KKR), Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), PLUS Malaysia Berhad, AirAsia Aviation Group dan Kelab Media Mutiara Pulau Pinang.
SMP 2025 menampilkan 35 aktiviti menarik bermula Khamis hingga Ahad ini antaranya pameran Rumah KAMI (rumah etnik), Perkampungan Etnik Kadazan Dusun dan Orang Asli, Pameran Malaysia Tanah Airku, Pameran Susur Masa oleh Jabatan Muzium Malaysia serta Pavilion Perpustakaan Malaysia.
Bertemakan "Harmoni Dalam Kepelbagaian", SMP 2025 juga dimeriahkan dengan program Food Unites, Jualan MADANI, jualan kraf tangan dan produk usahawan tempatan termasuk pesta durian, Larian Uniti, sukan tradisional, kejohanan e-sukan, Kembara Ilmu, Pesta Buku Pulau Pinang, Wayang Pacak, Pertandingan Boria Terbuka, Peragaan Busana Tradisional dan Pertandingan Tarian Etnik Sekolah Rendah.
Sambutan akan dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 10.30 pagi, esok.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial