PUTRAJAYA, 18 Julai (Bernama) -- Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Pemantauan) Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) Noor Afifah Abdul Razak menjadi wanita pertama dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), berkuat kuasa Isnin lepas (14 Julai).
KUSKOP dalam kenyataan hari ini memaklumkan selain Noor Afifah, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Integriti Malaysia Rahman Mohd Din turut dilantik sebagai Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Pemantauan kementerian itu berkuat kuasa tarikh sama.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick hari ini menyampaikan watikah pelantikan kepada Rahman dan Noor Afifah dalam satu majlis ringkas di sini.
Ewon dalam kenyataan hari ini berkata beliau yakin dengan pengalaman dan kepakaran kedua-duanya dalam pentadbiran awam sebelum ini, mampu membawa perubahan serta memperkasa ekosistem keusahawanan dan koperasi negara.
"Saya juga berharap kedua-dua mereka dapat meneruskan kecemerlangan di kementerian dan SKM bagi sama-sama menjayakan agenda dasar keusahawanan negara," katanya.
Sementara itu, Noor Afifah dalam kenyataan yang sama merakamkan penghargaan atas kepercayaan yang diberikan dan menyifatkan pelantikan tersebut sebagai satu penghormatan besar apatah lagi beliau merupakan wanita pertama dilantik ke jawatan berkenaan.
Rahman pula berazam untuk terus menyokong agenda pembangunan usahawan dan koperasi melalui peranan baharunya di peringkat dasar dan pemantauan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial