PUTRAJAYA, 18 Julai (Bernama) -- Kelajuan bas melebihi dua kali ganda had laju yang ditetapkan merupakan antara punca kemalangan yang meragut 15 nyawa penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Gerik, Perak pada 9 Jun lepas.
Perkara itu didedahkan dalam laporan awal Pasukan Petugas Khas yang dikeluarkan oleh Kementerian Pengangkutan (MOT) hari ini.
Rakaman kamera papan pemuka dan analisis kinematik menunjukkan kelajuan bas terbabit semasa kejadian melebihi 117 kilometer sejam (km/j), iaitu hampir dua kali ganda had laju kawasan iaitu 60 km/j.
"Berdasarkan urutan kejadian yang direkodkan dalam video kamera papan pemuka dan kesan fizikal di lokasi, bas telah tergelincir terlebih dahulu sebelum terbalik.
“Ini menunjukkan kelajuan bas semasa insiden adalah sekurang-kurangnya melebihi kelajuan kritikal untuk tergelincir dan berkemungkinan besar melebihi kelajuan kritikal untuk terbalik," menurut laporan itu.
Menurut laporan itu, kenderaan berkenaan terbalik ke sisi kiri sebelum bergesel dan menghentam penghadang jalan jenis W-beam, yang kemudiannya menembusi ke dalam ruang kabin dan menyebabkan kecederaan parah serta kematian dalam kalangan penumpang.
"Walaupun pemandu mendakwa berlaku kegagalan sistem brek, siasatan setakat ini belum mengesahkan sebarang kerosakan teknikal.
“Pemeriksaan awal mengenal pasti tanda-tanda kemungkinan pemanasan melampau pada komponen brek namun keadaan ini juga boleh berpunca daripada penggunaan brek yang berlebihan atau tidak sesuai. Penilaian terperinci masih dijalankan dan akan dilaporkan dalam laporan akhir," katanya.
Menurut laporan itu, bas terbabit tidak dilengkapi dengan sebarang peranti mengehad kelajuan seperti alat pengehad kelajuan (SLD) atau sistem pemantauan kelajuan (GPS) yang aktif dan ia menyukarkan pengesanan kelajuan sebenar semasa kejadian sekali gus mengehadkan bukti kuantitatif untuk penilaian prestasi pemanduan.
Susulan kemalangan itu, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengumumkan pelaksanaan mandatori pemasangan SLD berperingkat mulai Oktober 2025, tertakluk kepada kategori dan tarikh pendaftaran kenderaan. Ia bagi memastikan kawalan kelajuan dapat dilaksanakan dengan lebih efektif.
Laporan itu turut mendedahkan ketiadaan tali pinggang keselamatan bagi semua tempat duduk penumpang kecuali tempat duduk pemandu adalah satu kelemahan serius dari segi keselamatan pasif.
"Malah, empat kerusi hadapan yang sepatutnya dilengkapi dengan tali pinggang keselamatan mengikut peraturan sedia ada turut tidak dipasang, mencerminkan ketidakpatuhan terhadap keperluan minimum keselamatan. Keadaan ini menimbulkan persoalan terhadap ketelitian proses pemeriksaan kenderaan dan kelulusan teknikal semasa pendaftaran," katanya.
Dapatan turut menunjukkan bahawa 11 daripada 15 mangsa yang maut duduk pada bahagian kiri bas iaitu zon impak utama akibat perlanggaran dengan penghadang jalan manakala seorang lagi duduk di barisan belakang yang turut terdedah kepada daya impak tinggi.
"Ketiadaan tali pinggang keselamatan menyebabkan penumpang terdedah kepada pelanggaran dalaman (internal impact) dan risiko tercampak keluar dari kenderaan.
“Walaupun sistem tambatan tempat duduk tidak tercabut, daya impak yang sangat tinggi telah menyebabkan struktur bumbung dan tiang utama gagal dan penghadang jalan menembusi kabin. Keadaan ini mengehadkan ruang kemandirian (survival space) dan meningkatkan risiko kecederaan maut," menurut laporan itu.
Menurut laporan itu, siasatan mendapati bahawa kedua-dua pemandu bas yang terlibat mempunyai rekod kesalahan jalan raya yang membimbangkan iaitu pemandu pertama (yang memandu semasa kejadian) mempunyai 18 saman trafik oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan 13 daripadanya masih belum dijelaskan.
Sementara itu, pemandu kedua mempunyai sembilan saman aktif oleh JPJ dan 13 saman oleh PDRM yang belum dijelaskan.
"Sebahagian besar saman pemandu pertama melibatkan kesalahan memandu melebihi had laju. Rekod kesalahan yang tinggi ini mencerminkan corak pemanduan berisiko dan ketidakpatuhan berulang terhadap undang-undang jalan raya," katanya.
Laporan itu memaklumkan setakat ini, tiada bukti bahawa pemandu memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah. Bagaimanapun, keputusan rasmi ujian toksikologi masih belum diterima pada masa laporan disediakan.
Menurut laporan itu, siasatan terhadap insiden berkenaan mendedahkan kelemahan sistemik dalam aspek tadbir urus industri, pematuhan peraturan dan keberkesanan penguatkuasaan oleh pihak pengendali serta agensi-agensi kawal selia.
"Pelanggaran serius yang dikesan termasuk penyewaan lesen tanpa kebenaran, penyalahgunaan sistem permohonan pengecualian pemandu pelancong dan kegagalan audit keselamatan menunjukkan ketidakupayaan sistem semasa dalam memastikan operasi kenderaan pelancongan yang selamat dan beretika," menurut laporan itu.
Menurut laporan itu, tiga entiti yang terlibat dalam rantaian pengendalian kenderaan ini iaitu Kenari Utara Travel & Tours, Noreen Maju Trading dan Nuratiqah Travel & Tours telah menjalani audit keselamatan (JISA) oleh JPJ antara 9 hingga 11 Jun lepas.
"Ketiga-tiga syarikat tersebut diklasifikasikan sebagai tidak patuh dengan markah audit yang sangat rendah (antara 10 peratus hingga 12 peratus) dan didapati gagal mematuhi kesemua keperluan mandatori di bawah ICOP–Keselamatan.
"Antara kegagalan kritikal yang direkodkan termasuk ketiadaan pelantikan pegawai atau penyelaras keselamatan dan kesihatan pekerjaan, ketiadaan sistem pemantauan GPS yang aktif dan berfungsi, tiada rekod sistematik bagi pemantauan masa pemanduan dan waktu rehat, tiada pelan tindakan kecemasan (ERP) disediakan dan tiada paparan nombor talian kecemasan pada kenderaan," menurut laporan itu.
Pada 9 Jun lepas, negara dikejutkan dengan kemalangan maut membabitkan sebuah bas membawa 42 mahasiswa UPSI yang dalam perjalanan dari Jertih, Terengganu ke Tanjung Malim, Perak.
Nahas yang turut melibatkan kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) berhampiran Tasik Banding di Gerik itu meragut 15 nyawa penuntut universiti berkenaan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial