BELANJAWAN 2025 > BERITA

SARA Bantu Ringankan Kos Sara Hidup Golongan Memerlukan

18/07/2025 10:05 AM

PENDANG, 18 Julai (Bernama) -- “Dulu tak reti, sekarang dah pandai.” Begitulah pengakuan tulus Che Mah Ahmad, 79, warga emas dari Kampung Tobiar yang kini semakin mahir menggunakan MyKad bagi memanfaatkan inisiatif Sumbangan Asas Rahmah (SARA) untuk membeli keperluan dapur.

Meniti usia senja, kehidupan bukan lagi semudah dahulu, namun bantuan SARA yang disalurkan secara bulanan menerusi MyKad meringankan beban dan membuat hatinya menjadi lebih tenang.

“Saya bawa MyKad saja mai (datang) beli barang di sini … mula-mula tak reti (guna MyKad untuk pembayaran), sekarang dah pandai.

“Memang cara ini tak menyusahkan rakyat, mudah dan cepat terutama untuk orang tua macam saya,” katanya yang berharap kaedah itu dikekalkan demi membantu lebih ramai rakyat.

Bagi pekerja swasta Mohd Naim Mohd Zubir, 40, dari Kampung Rambai, setiap kali mengeluarkan MyKad di kedai runcit kampungnya, rasa lega menyelubungi dirinya kerana kad itu kini bukan sekadar pengenalan diri tetapi kunci kepada kelangsungan hidup keluarganya.

Inisiatif SARA amat membantu dalam menampung keperluan keluarganya dengan memanfaatkan bantuan itu untuk membeli beras dan makanan harian serta keperluan penting keluarganya

“Mykad memang mudah dan ringkas, tak perlu bawa duit tunai, tak risau tercicir atau kena curi, malah tak perlu beratur panjang,” katanya.

Suri rumah dari Kubur Panjang, Buhairah Hassan, 46, pula menyifatkan bantuan itu  sebagai rezeki yang sangat ditunggu-tunggu setiap bulan.

"Saya sokong apa yang dibuat kerajaan ketika ini, bantu rakyat dan mudahkan rakyat, guna MyKad senang nak bayar … saya berharap supaya barangan basah seperti ikan dan sayur turut dimasukkan dalam senarai barangan yang boleh dibeli menggunakan bantuan SARA pada masa hadapan,” katanya.

SARA ialah program bantuan tunai bersasar kepada rakyat yang benar-benar memerlukan. Mulai 1 April lepas, pelaksanaan inisiatif ini diperluas kepada 5.4 juta penerima melibatkan 700,000 penerima SARA sedia ada dalam rekod eKasih serta 4.7 juta penerima Sumbangan Tunai Rahman (STR) sedia ada.

Menerusi Belanjawan 2025, peruntukan bagi program Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) telah meningkat kepada RM13 bilion berbanding RM10 bilion pada tahun sebelumnya, dengan jumlah bantuan tahunan SARA turut dinaikkan kepada RM2,100 bagi tahun ini berbanding RM1,200 pada tahun lepas.

Inisiatif ini selaras dengan kerangka Ekonomi MADANI yang menekankan usaha memperkasakan kehidupan rakyat berpendapatan rendah melalui peluang adil, taraf hidup lebih baik serta perlindungan sosial mencukupi.

Bagi meningkatkan kemudahan rakyat, kerajaan juga telah memperluas kategori barangan boleh dibeli menggunakan SARA kepada 14 kategori di samping menambah bilangan kedai runcit dan pasar raya berdaftar yang kini telah mencecah lebih 4,100 premis di seluruh negara setakat Julai 2025, berbanding hanya 700 tahun lepas. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan