KUALA LUMPUR, 16 Julai (Bernama) -- Greenyield Bhd menjual sebidang tanah perindustrian pegangan pajak yang masih belum dibangunkan di Banting, Selangor kepada pengeluar penapis kartrij, Filtermation (MFG) Sdn Bhd dengan nilai RM8 juta.
Menurut syarikat agroteknologi itu, penjualan tanah seluas 10,660 meter persegi itu yang dimiliki oleh anak syarikat milik penuh, Greenyield Industries (M) Sdn Bhd (GISB) adalah sebahagian daripada strategi kumpulan untuk mengoptimumkan gabungan asetnya serta mengewangkan dan merealisasikan nilai simpanan tanahnya.
“Hasil daripada penjualan tersebut akan digunakan oleh kumpulan sebagai rizab dan menambah baik tahap kadar hutang serta nisbah semasa berikutan rizab yang meningkat,” katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.
Greenyield berhasrat untuk menggunakan sebahagian besar hasilnya (RM7.56 juta) untuk modal kerja dan rizab tunai manakala selebihnya diperuntukkan untuk anggaran cukai keuntungan hartanah (RM389,000) dan perbelanjaan berkaitan cadangan penjualan tersebut (RM51,000).
“Cadangan penjualan itu tidak tertakluk kepada kelulusan pemegang saham syarikat. Bagaimanapun, pemindahan hartanah daripada GISB kepada pembeli mungkin tertakluk kepada kelulusan atau persetujuan pihak berkuasa negeri dan pihak berkuasa berkaitan lain, jika perlu.
“Tanpa mengambil kira keadaan di luar jangka dan tertakluk kepada semua kelulusan berkaitan yang diperoleh, cadangan penjualan itu dijangka selesai pada tahun ini,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial