KUALA LUMPUR, 16 Julai (Bernama) -- Projek Kampung Digital Melaka (KDM) yang diperkenalkan sejak dua tahun lepas kini menjadi model rujukan bagi pembangunan sistem alamat digital di kawasan luar bandar, kata Ketua Penolong Pengarah Bahagian Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) Jabatan Ketua Menteri Melaka Mohd Hairul Shah Ismail.
Berucap pada sesi Showcase Kampung Digital Melaka bersempena dengan Persidangan Alamat Nasional 2025 hari ini, beliau berkata inisiatif itu bertujuan menyusun semula alamat kampung tradisional di Melaka kepada sistem alamat digital standard, lengkap dengan kod unik dan kod QR.
“Semua alamat rumah di kampung kini dipetakan secara digital dalam satu pangkalan data khusus. Pemilik rumah boleh berkongsi lokasi mereka dengan lebih tepat menggunakan aplikasi navigasi seperti Google Maps dan Oasis,” katanya.
Beliau menjelaskan projek yang dibangunkan selari dengan pelaksanaan Sistem Alamat Nasional (NAS) oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) itu, memudahkan proses penyampaian bantuan kebajikan dan pengurusan kecemasan di kawasan luar bandar.
“Alamat digital ini bukan sahaja memudahkan keluarga berkongsi lokasi rumah mereka, malah mempercepat bantuan kecemasan dihantar ke lokasi dengan lebih tepat,” katanya.
Mohd Hairul berkata sehingga kini, lebih 600 kampung di seluruh Melaka telah disenaraikan untuk terlibat dalam inisiatif tersebut dan proses penyerahan surat dan pelekat telah selesai untuk 174 buah kampung sekali gus menjadikannya antara projek perintis terbesar di Malaysia.
“Projek Menaik Taraf Infastruktur ICT dan Sistem Kampung Digital Negeri Melaka sedang dalam fasa kajian keperluan pengguna,” katanya.
Beliau berkata skop naik taraf itu melibatkan pembangunan integrasi antara Sistem Kampung Digital dengan Sistem MyIDENTITY (JPN), Sistem eVePermit (Jabatan Veterinar), Sistem Maklumat Penerima Bantuan Melaka (eMPBM), Sistem e-Tanah, S-CHARMS dan lain-lain.
Sebagai indikator kejayaan projek, Melaka menyasarkan penukaran sepenuhnya alamat lama kepada alamat Kampung Digital bagi semua kampung di negeri itu dalam tempoh beberapa tahun akan datang.
Dalam pada itu Mohd Hairul turut memaklumkan bahawa pelaksanaan penuh inisiatif Kampung Digital ini akan berkuat kuasa bermula 1 Jan 2026 dalam urusan melibatkan perkhidmatan kerajaan di Melaka.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial