KUALA LUMPUR, 11 Julai (Bernama) -- China menyatakan kesediaannya membantu meredakan ketegangan di sempadan Thailand-Kemboja, dengan mengambil peranan secara konstruktif serta mengekalkan sikap berkecuali dan adil.
Menteri Luar China Wang Yi berkata sokongan itu, akan berasaskan kepada penghormatan terhadap kepentingan kedua-dua negara dan bertujuan membantu menyelesaikan isu tersebut melalui dialog dan perundingan.
Wan Yi dalam satu kenyataan siarkan di laman web rasmi Kementerian Luar Negeri China menegaskan bahawa Thailand dan Kemboja ialah rakan sejak sekian lama dan jiran rapat kepada China.
Beliau turut menyatakan harapan agar kedua-dua negara dapat berinteraksi dalam semangat muhibah serta menyelesaikan perbezaan mereka melalui dialog aman dan perundingan yang membina.
Wang Yi berkata walaupun Thailand dan Kemboja mungkin mempunyai pandangan yang berbeza, namun kedua-dua pihak telah menunjukkan komitmen bersama dalam menguruskan situasi dan meredakan ketegangan.
“Thailand dan Kemboja berjiran. Saya percaya kedua-dua pihak berkeupayaan untuk menyelesaikan isu ini dengan baik, dalam semangat hidup bersama secara aman dan hubungan kejiranan yang baik.
“China bersedia mengekalkan sikap objektif dan berkecuali, serta memainkan peranan yang membina dalam mempromosikan hidup bersama secara aman antara Thailand dan Kemboja,” katanya.
Wang menyatakan perkara itu ketika pertemuan berasingan dengan rakan sejawatnya dari Thailand Maris Sangiampongsa dan Timbalan Perdana Menteri serta Menteri Luar dan Kerjasama Antarabangsa Kemboja Sok Chenda Sophea, pada Khamis.
Pertemuan diadakan di sela-sela Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-58 dan mesyuarat berkaitan di Kuala Lumpur.
Wang mengulangi bahawa China mengekalkan pendirian neutral, adil, dan berkecuali, serta bersedia memainkan peranan membina dalam menangani kebimbangan kedua-dua pihak, dengan menekankan penghormatan terhadap kehendak kedua-dua negara dan kepentingan menyelesaikan pertikaian melalui dialog dan perundingan secara aman.
Sementara itu, Maris menyatakan penghargaan atas pendirian China yang adil dan seimbang, dalam menggalakkan dialog serta perdamaian.
Beliau juga menekankan bahawa isu wilayah dan sempadan tidak boleh diselesaikan melalui kekerasan.
“Thailand komited untuk menyelesaikan pertikaian melalui saluran dua hala dalam semangat kejiranan yang baik dan persahabatan,” katanya.
Hubungan diplomatik Thailand-Kemboja menjadi tegang susulan kejadian berbalas tembakan pada 28 Mei di antara tentera kedua-dua negara yang ditempatkan berhampiran wilayah Preah Vihear di utara Kemboja. Seorang tentera Kemboja maut dalam kejadian itu.
Pertikaian itu bukan sahaja menjejaskan hubungan dua hala, malah turut memberi kesan negatif kepada aktiviti perdagangan di kawasan sempadan. Kedua-dua negara berkongsi sempadan sepanjang 817 kilometer.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial