BERLIN, 15 Julai (Bernama-dpa) -- Google membatalkan rancangan untuk membina pusat datanya sendiri di kawasan sekitar Berlin, kata jurucakap syarikat itu pada Selasa, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Beliau berkata syarikat teknologi gergasi dari AS itu tidak akan meneruskan pembinaan kemudahan yang dirancang sebelum ini di Mittenwalde, kira-kira 30 kilometer di selatan Berlin.
Bremer berkata Google menilai lokasi pusat datanya dengan jangkaan jangka panjang, mengambil kira pelbagai faktor.
“Setelah melakukan semakan menyeluruh terhadap kebolehlaksanaan, perkembangan pasaran secara keseluruhan, dan keutamaan perniagaan kami, kami memutuskan untuk tidak meneruskan tapak Mittenwalde,” katanya.
Namun, beliau menegaskan yang Google tetap "komited terhadap rantau Berlin-Brandenburg dan Jerman."
Di rantau Berlin, Google kini menyewa ruang di pusat data yang dikendalikan oleh pihak ketiga. Pada 2023, syarikat itu membuka pusat data berskala besar di Hanau, berhampiran Frankfurt tetapi hanya satu daripada tiga fasa pembinaan yang dirancang, siap setakat ini.
Kawasan Frankfurt menjadi tumpuan utama pembinaan pusat data, sebahagian besarnya disebabkan oleh kedudukannya yang berdekatan dengan DE-CIX, antara pusat pertukaran internet terbesar di dunia. Hab ini membolehkan pengendali memindahkan jumlah data yang besar dengan pendaman minimum.
Google juga memiliki dua bidang tanah tambahan di kawasan Rhine-Main barat yang tersedia untuk pembangunan pusat data pada masa hadapan.
Perkembangan ini berlaku ketika pesaing Google, syarikat perisian AS Oracle, mengumumkan rancangan untuk melabur sebanyak US$2 bilion di Jerman dalam tempoh lima tahun akan datang bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat terhadap aplikasi kecerdasan buatan (AI) dan infrastruktur awan.
-- BERNAMA-dpa
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial