BELANJAWAN 2025 > BERITA

YTL Power Labur RM10 Bilion Dalam AI, Galakkan Syarikat Tempatan Manfaat Infrastruktur AI

08/07/2025 01:53 PM

KUALA LUMPUR, 8 Julai (Bernama) – YTL Power International Bhd melabur kira-kira RM10 bilion dalam kecerdasan buatan (AI) dan infrastruktur AI setakat ini serta menggalakkan syarikat-syarikat Malaysia untuk melabur dalam AI dan memanfaatkan infrastruktur itu.

YTL Power merupakan anak syarikat kepada YTL Corporation Bhd.

Pengarah Eksekutif YTL Power, Yeoh Keong Hann berkata syarikat itu telah melabur dalam pusat data, yang disifatkannya sebagai antara pusat data terbesar di dunia dan dalam unit pemprosesan grafik (GPU) dan model bahasa besar (LLM).

“Kami mempunyai 200 megawatt yang telah beroperasi, dan kami berpotensi meningkatkannya sehingga 600 megawatt. Kami turut bekerjasama dengan hiperskala terbesar dunia di kampus kami dan menjalinkan kerjasama dengan NVIDIA yang merangkumi cip GPU.

“Kami juga memiliki cip terpantas di dunia, iaitu cip GB200 Blackwell, yang kini berada di pusat data kami di Malaysia dan akan mula beroperasi dalam masa terdekat,” katanya kepada pemberita di Brazil di akhir lawatan rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Itali, Perancis dan Brazil.

Hadir sama ialah Naib Presiden Komersial YTL Power Dominic Hua.

Yeoh turut berkata Anwar memahami impak AI dan teknologi AI kepada negara dan telah menyatakan hasrat beliau agar syarikat itu meneroka pelaburan yang lebih meluas dalam bidang berkenaan.

“Kami akan terus melabur dan kami amat berterima kasih atas sokongan kerajaan, serta berpeluang menjadi sebahagian daripada lawatan dan delegasi ini, di mana kami melihat minat global yang tinggi terhadap kepakaran dan teknologi kami.

“Menjadi sebahagian daripada lawatan ini juga membolehkan kami bertemu dengan rakan sejawat kami di Paris, Rom dan Rio de Janeiro, serta berkongsi pandangan secara mendalam. Diharapkan kami dapat mengeksport pengetahuan, kepakaran dan teknologi ini ke peringkat global,” katanya.

Dalam masa yang sama, Yeoh menekankan bahawa YTL Power bersedia untuk melancarkan LLM pertama Malaysia, ILMU 1.0, serta Ryt Bank, bank digital berkuasa AI yang pertama di Malaysia.

YTL Power International Bhd merupakan sebahagian daripada delegasi Malaysia dalam lawatan rasmi itu yang bermula pada 1 Julai dan bertujuan mengukuhkan hubungan dua hala dan merangsang kerjasama perdagangan dan ekonomi.

Syarikat-syarikat utama Malaysia yang menyertai delegasi itu termasuk Petroliam Nasional Bhd (Petronas), Tenaga Nasional Bhd (TNB), Malayan Banking Bhd (Maybank), FGV Holdings Bhd dan Khazanah Nasional Bhd.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan