KUALA LUMPUR, 15 Julai (Bernama) – Dasar berkecuali Malaysia dalam perdagangan global telah disalah tafsir oleh sesetengah pengeksport dan dieksploitasi sebagai asas untuk mengelak tarif dan menghalang sekatan, kata Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Liew Chin Tong.
Dalam ucaptamanya di seminar Skrine mengenai “Staying Ahead of the Curve: Legal Appetite for Sanctions and Tariffs Risks” di sini hari ini, beliau berkata kerajaan sedang mengambil langkah untuk mengukuhkan penguatkuasaan dan mengetatkan pengawasan ke atas import dan eksport tertentu untuk mengelakkan penyalahgunaan sedemikian dan mempertahankan kredibiliti Malaysia dalam perdagangan global.
“Tarif bukan sekadar menaikkan harga barangan import. Kesan dan akibatnya lebih daripada itu. Ia mengganggu rantaian bekalan dengan mewujudkan kesan sampingan.
“Sebagai contoh, barangan yang pada asalnya untuk pasaran AS kini dialihkan dan membanjiri pasaran lain, termasuk negara kita. Ini mewujudkan cabaran yang serius kerana lambakan import boleh menjejaskan pengeluar tempatan kita,” katanya.
Beliau berkata era hiperglobalisasi masa kini, yang menggalakkan kecekapan melebihi segala-galanya, telah berakhir dan digantikan dengan era yang mengutamakan keselamatan dan daya tahan.
Akibatnya, kerajaan dan sektor swasta perlu memikirkan semula strategi perdagangan jangka panjang mereka untuk terus wujud dan menyesuaikan diri dengan landskap global yang berubah ini, kata Liew.
“Perdagangan tidak seharusnya lagi dilihat sebagai satu tujuan, tetapi sebagai satu cara untuk mencapai tujuan yang lebih luas,” katanya sambil menambah model perdagangan lama, di mana Malaysia dan negara anggota ASEAN yang lain bersaing untuk mengeluarkan produk dengan kos serendah mungkin dan mengeksport ke AS, tidak lagi mampan.
Liew berkata Malaysia perlu mengejar usaha kepelbagaian pasaran melalui peluasan hubungan dengan pasaran baru muncul di Asia Tengah, Timur Tengah, Afrika dan Amerika Latin.
Pada masa yang sama, beliau menggesa negara-negara anggota ASEAN agar tidak lagi bersaing sesama sendiri, sebaliknya bekerjasama secara kolektif untuk membina rantaian bekalan serantau yang bersepadu dan pangkalan pengguna mereka sendiri yang bertenaga.
“ASEAN kini merupakan ekonomi kelima terbesar di dunia, dengan populasi melebihi 680 juta orang.
“Dengan ASEAN yang lebih kukuh dan bersepadu, golongan kelas pertengahan yang kuat, bukan sahaja akan menggalakkan kuasa-kuasa besar untuk melibatkan diri dengan kita sebagai satu blok, tetapi juga boleh menarik ekonomi sedang pesat membangun yang lain untuk berdagang, melabur dan berkembang bersama kami,” katanya.
Beliau juga menekankan kepentingan kesiapsiagaan undang-undang dalam mengemudi landskap perdagangan yang kompleks pada hari ini.
“Undang-undang boleh berfungsi untuk dua tujuan: untuk memajukan dan mempertahankan kepentingan negara kita. Sehubungan itu, dalam mengemudi sistem perdagangan global yang sentiasa berkembang ini, undang-undang mesti menjadi sebahagian daripada kebersamaan.
“Apa yang telah memastikan dunia kekal terkawal selama ini, walaupun dengan ketidaksempurnaannya, adalah kewujudan norma undang-undang antarabangsa yang memegang akauntabiliti negara dan menyediakan rangka kerja untuk penyelesaian pertikaian secara aman,” katanya.
Liew berkata ketika Malaysia merancang hala tujunya dalam ekonomi global yang berubah ini, kerajaan dan sektor swasta mesti bekerjasama untuk memperkukuh pengetahuan undang-undang dan meningkatkan keupayaan untuk mengharungi cabaran undang-undang dan kawal selia yang kompleks.
— BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial