BELANJAWAN 2025 > BERITA

Kelantan TRW Perlu Cari Kaedah Terbaik Selesai Isu Gaji Tertunggak

14/07/2025 02:50 PM

KOTA BHARU, 14 Julai (Bernama) -- Pengurusan Kelantan The Real Warriors (Kelantan TRW) diminta mencari kaedah terbaik bagi menyelesaikan masalah tunggakan gaji yang dihadapi pemain dan jurulatih pasukan itu pada musim lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan Perpaduan Masyarakat negeri Zamakhshari Muhamad berkata beliau amat prihatin dengan isu yang berlarutan itu dan berharap ia dapat diselesaikan segera demi kebajikan semua pihak terlibat.

“Secara umum, kelab yang menyertai Liga Malaysia (Liga-M) dari Kelantan adalah di bawah pengurusan swasta, yang beroperasi dengan dana sendiri.

“Saya difahamkan pengurusan baharu Kelantan TRW ini mempunyai dana mencukupi untuk membayar gaji, namun kaedah pembayaran yang ditawarkan tidak dipersetujui oleh pemain dan jurulatih,” katanya kepada Bernama selepas merasmikan Mesyuarat Pembukaan Gelanggang Pertubuhan Seni Silat Gayong Warisan di Sekolah Menengah Ugama Riayatul Diniah di sini hari ini.

Semalam, media melaporkan pengurusan Kelantan TRW diberikan tempoh dua hari untuk memberi kata putus sama ada bersetuju atau tidak dengan syarat yang dikemukakan hampir 20 bekas pemain dan jurulatih bagi menyelesaikan tunggakan gaji yang berlarutan sejak Februari lepas.

Zamakhshari berkata beliau difahamkan cadangan pengurusan adalah membayar tunggakan gaji itu secara ansuran, namun kaedah itu tidak dipersetujui oleh pemain dan jurulatih.

“Bagaimanapun, saya berharap perbincangan lanjut dapat diadakan dan mencapai persetujuan bersama. Saya yakin pengurusan baharu ini mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh, cuma mereka mengambil pendekatan lebih berhati-hati dalam pengurusan dana,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan