BELANJAWAN 2025 > BERITA

PKR Teliti Gesaan Siasatan Tatatertib, Gantung Keahlian Sembilan Ahli Parlimen

13/07/2025 03:39 PM

KUALA LUMPUR, 13 Julai (Bernama) -- Parti Keadilan Rakyat (PKR) kini sedang meneliti gesaan untuk menyiasat sembilan ahli parlimennya secara tatatertib berikutan tindakan mereka mengadakan sidang media terbuka yang mendesak penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung isu badan kehakiman.

Setiausaha Agung PKR Datuk Dr. Fuziah Salleh berkata parti tersebut juga sedang mempertimbangkan gesaan daripada ahli parti agar sembilan ahli parlimen itu digantung keahlian sementara susulan insiden tersebut.

Beliau berkata laporan rasmi berhubung desakan itu akan dibentangkan dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) yang dijadualkan berlangsung dalam tempoh dua minggu lagi.

“Gesaan tersebut sudah pun sampai kepada saya, dan saya telah dimaklumkan mengenainya. Kini, Pejabat Setiausaha Agung akan meneliti dan mengambil tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Menurut Fuziah, laporan itu akan dikaji berdasarkan kod tata etika parti bagi menentukan sama ada tindakan mereka melanggar peraturan parti.

“Saya hanya menjalankan tugas. Yang akan berbincang dan membuat keputusan adalah MPP. Kami mempunyai kod tata etika, jadi perlulah dikaji sama ada tindakan itu melanggarnya atau tidak,” katanya.

Terdahulu, bekas Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Rafizi Ramli bersama lapan ahli parlimen lain dari parti itu tampil dalam satu sidang akhbar mendesak kerajaan menubuhkan RCI serta Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSSC) berkaitan pelantikan kehakiman.

Semalam, 19 Ketua Cabang PKR Johor dan 11 Ketua Cabang PKR Kedah turut menggesa agar siasatan tatatertib dilakukan dan keahlian sembilan ahli parlimen itu digantung sementara.

Mengulas lanjut, Fuziah memaklumkan bahawa desakan tersebut telah diterima oleh pejabatnya lebih awal sebelum ia disebarkan kepada media.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan