BELANJAWAN 2025 > BERITA

Kerjasama Iran Dengan IAEA Akan Diteruskan Tetapi Dalam "Bentuk Baharu" - Menteri Luar

12/07/2025 11:49 PM

ANKARA, 12 Julai (Bernama-Anadolu) -- Menteri Luar Iran Abbas Araghchi berkata pada Sabtu  kerjasama Tehran dengan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) tidak akan dihentikan tetapi akan “mengambil bentuk baharu bagi memastikan keselamatan kemudahan nuklearnya,” lapor Anadolu Ajansi (AA) yang memetik agensi berita Tasnim.

Dalam satu pertemuan dengan duta dan ketua misi asing yang berpangkalan di Tehran, Araghchi berkata “hakikat yang sistem pengawalan senjata boleh dilanggar dengan begitu mudah merupakan satu kerosakan, sebelum menjadi satu kerugian, bukan sahaja kepada Iran, tetapi juga kepada masyarakat antarabangsa dan undang-undang antarabangsa.”

Beliau mengulangi komitmen Iran terhadap Perjanjian Pengawalan Senjata Nuklear (NPT), sambil berkata: “Program nuklear Iran sentiasa bersifat aman dan akan kekal begitu,” sambil menegaskan  Tehran “akan terus menjadi ahli kepada NPT.”

“Menurut undang-undang parlimen, kerjasama kami diuruskan melalui Majlis Keselamatan  Tertinggi Negara dan permintaan kerjasama daripada IAEA akan dinilai mengikut kes oleh majlis ini, yang akan membuat keputusan,” kata Araghchi.

Konflik selama 12 hari antara Israel dan Iran meletus pada 13 Jun selepas Tel Aviv melancarkan serangan udara ke atas tapak ketenteraan, nuklear dan awam Iran, mengorbankan sekurang-kurangnya 606 orang dan mencederakan 5,332 lagi, menurut Kementerian Kesihatan Iran.

Konflik itu berakhir di bawah satu gencatan senjata tajaan AS yang berkuat kuasa pada 24 Jun.

--BERNAMA-ANADOLU


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan