BEIJING, 11 Julai (Bernama-Xinhua) -- Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) memuji peraturan keselamatan nuklear dan sinaran China selepas penilaian dijalankan atas jemputan negara itu, menurut Kementerian Ekologi dan Alam Sekitar pada Jumaat, lapor Xinhua.
Misi Perkhidmatan Semakan Kawal Selia Bersepadu (IRRS) IAEA yang diadakan dari 29 Jun hingga 11 Julai mengiktiraf keberkesanan peraturan China serta mengenal pasti beberapa amalan baik yang boleh dipromosikan di peringkat antarabangsa.
Dalam sidang media bersama pada Jumaat, Timbalan Pengarah Pentadbiran Keselamatan Nuklear Kebangsaan Li Zhiguo berkata kemudahan nuklear yang beroperasi di China mengekalkan rekod keselamatan yang cemerlang.
Kualiti pembinaan kemudahan nuklear yang sedang dibangunkan dikawal dengan baik, manakala keselamatan sumber radioaktif dan peranti sinaran yang digunakan di seluruh negara diuruskan secara berkesan.
Li berkata keseluruhan kualiti persekitaran sinaran di seluruh negara berada pada tahap baik, dengan kesihatan awam dan keselamatan alam sekitar dilindungi sepenuhnya.
Pasukan penilai terdiri daripada 20 wakil kanan kawal selia dari 17 negara, empat pakar IAEA dan seorang pemerhati, yang telah menjalankan penilaian menyeluruh, mendalam dan objektif terhadap kerja peraturan keselamatan nuklear dan sinaran China.
IRRS merupakan satu daripada mekanisme semakan rakan antarabangsa paling berpengaruh IAEA.
Mark Foy yang mengetuai pasukan penilai memuji pendekatan inovatif China, dengan menyatakan bahawa penggunaan teknologi inovatif untuk meningkatkan keberkesanan kawal selia patut dijadikan rujukan oleh negara lain.
Pasukan IAEA mengenal pasti tiga amalan cemerlang dalam sistem peraturan nuklear China iaitu: pertukaran industri secara menyeluruh pada tahap tinggi mengenai pembangunan keselamatan, penggunaan kecerdasan buatan untuk meningkatkan kecekapan kawal selia dan penggunaan data raya serta pemantauan masa nyata untuk memperbaiki pembuatan keputusan.
-- BERNAMA-XINHUA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial