BELANJAWAN 2025 > BERITA

Pusat Arkeologi Guar Kepah Bakal Dibuka Suku Ketiga Tahun Ini

12/07/2025 08:05 PM

KEPALA BATAS, 12 Julai (Bernama) -- Projek pembinaan Pusat Arkeologi Guar Kepah dekat sini telah siap dan dijangka dibuka kepada orang awam pada suku ketiga tahun ini.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata galeri berkenaan akan dibuka selepas proses repatriasi rangka manusia prasejarah dari tapak berkenaan yang kini disimpan di Collection Center Netherlands (CCNL), Belanda selesai sepenuhnya.

“Kita (kerajaan negeri) difahamkan delegasi Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) akan ke Belanda dalam bulan ini atau Ogos dan sekarang cuma menunggu untuk membawa balik rangka-rangka berkenaan.

“Selepas dibawa pulang, ia akan diserahkan kepada Universiti Sains Malaysia (USM) terlebih dahulu bagi menjalankan sedikit proses kerana universiti itu ada kepakaran penyelidikan arkeologi,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Penang2030 Festival X Hari Warisan Seberang Perai 2025 di Kampung Agong, Penaga dekat sini hari ini.

Beliau berkata projek pembinaan Galeri Arkeologi Guar Kepah itu merupakan inisiatif penting Kerajaan Pulau Pinang yang akan melengkapkan peta pelancongan arkeologi wilayah utara Semenanjung. 

Pusat Arkeologi Guar Kepah bakal menempatkan khazanah rangka manusia Guar Kepah dikenali sebagai ‘Penang Woman’ berusia lebih 5,000 tahun yang ditemukan pada 2017, sebagai bahan pameran utama di pusat berkenaan.

Selain itu, 41 lagi rangka manusia yang dijumpai di Guar Kepah ketika ekskavasi P.V van Stein Callenfels pada 1936 yang kini disimpan di Leiden, Belanda sedang dalam usaha untuk dibawa pulang oleh kerajaan Malaysia bagi membolehkan ia disimpan dan dipamerkan di pusat arkeologi itu.

Pusat Arkeologi Guar Kepah adalah tapak Bukit Cengkerang Kepah yang mendedahkan bukti masyarakat prasejarah Neolitik di Pulau Pinang yang berusia sekitar 5,000 hingga 6,000 tahun.

Sementara itu, Chow berkata usaha-usaha di bawah pelan pembangunan masa depan negeri Visi Penang2030 yang dilancarkan pada 2018 telah mencapai hampir 80 peratus daripada sasaran keseluruhan setakat ini.

Dalam memastikan tunjang-tunjang utama yang diwacanakan tercapai, beliau berkata sistem pemantauan khas, Penang2030 Dashboard dibentuk bagi membolehkan rakyat memantau kemajuan intipati visi berkenaan dari semasa ke semasa secara terbuka.

Terdahulu, lebih 5,000 masyarakat berbilang kaum mengunjungi Kampung Agong bagi sambutan Festival Penang2030 dan Hari Warisan Seberang Perai yang diadakan sekali dengan menampilkan pelbagai aktiviti termasuk pertandingan pakaian tradisional kanak-kanak, bengkel pembuatan makanan tradisional, persembahan silat dan wayang kulit, kenduri rakyat serta pertandingan sukan rakyat.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan