BELANJAWAN 2025 > BERITA

PMR Terengganu 2025 Catat Lebih 70,000 Pengunjung - KKR

12/07/2025 06:35 PM

KUALA TERENGGANU, 12 Julai (Bernama) -- Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 Terengganu yang berlangsung selama tiga hari di Pasar Kedai Payang di sini, mencatatkan kehadiran luar biasa dengan lebih 70,000 pengunjung, jauh melepasi sasaran awal seramai 25,000 orang.

Kementerian Kerja Raya (KKR) dalam kenyataan hari ini memaklumkan kejayaan program itu membuktikan keupayaan kerajaan mendekati rakyat secara langsung melalui penyampaian perkhidmatan serta dasar yang berpaksikan nilai MADANI.

“Segala pandangan dan maklum balas yang diterima sepanjang program ini amat bernilai dalam usaha menambah baik mutu perkhidmatan kerajaan ke arah pembentukan Malaysia yang progresif dan inklusif.

"KKR, selaku kementerian peneraju merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang menjayakan program, termasuk kementerian dan agensi kerajaan di peringkat Persekutuan dan negeri, syarikat swasta, usahawan serta seluruh warga Terengganu," menurut kenyataan itu.

Program bertemakan ‘Pembangunan MADANI, Rakyat Sejahtera’ itu dianjurkan dengan kerjasama Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) serta Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU).

Pelaksanaannya memberi fokus kepada usaha Kerajaan MADANI membangunkan infrastruktur asas seperti jalan raya, jambatan dan kemudahan awam yang menyeluruh dan berimpak tinggi, seiring komitmen memperkasa rakyat melalui nilai insaniah, etika serta tanggungjawab bersama.

Sepanjang program, pelbagai aktiviti diadakan termasuk pameran perkhidmatan kerajaan, Jualan MADANI, kaunter bayaran saman trafik Polis Diraja Malaysia (PDRM), pemeriksaan kesihatan, padanan pekerjaan serta pertukaran topi keledar secara percuma oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan