BELANJAWAN 2025 > BERITA

2,500 Sertai Larian MAPPA XX Wilayah Sabah - JPA

12/07/2025 09:31 PM

KOTA KINABALU, 12 Julai (Bernama) --  Sebanyak 2,500 peserta daripada kalangan warga perkhidmatan awam dan masyarakat negeri ini menyertai Larian Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam ke-20 (MAPPA XX) 2025 Wilayah Sabah di Stadium Likas di sini malam ini.

Jabatan Perkhidmatan Awam menerusi satu kenyataan memaklumkan larian yang dilepaskan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor itu, adalah siri jelajah MAPPA XX 2025 keempat selepas Kuantan, Pahang; Batu Kawan, Pulau Pinang; dan Kuching, Sarawak. 

"Program ini mencerminkan komitmen bersama, iaitu budaya hidup sihat adalah tanggungjawab kolektif yang merentas jabatan dan komuniti, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan nilai kesejahteraan dan kebersamaan," menurut kenyataan itu malam ini 

Acara yang bermula pada 7.30 malam itu melibatkan dua kategori iaitu 5 kilometer (km) dan 10 km.

Penganjurannya dilaksanakan secara kolaboratif antara kerajaan Sabah dan Pejabat Setiausaha Persekutuan Sabah, dengan sokongan strategik daripada Kementerian Belia dan Sukan Negeri Sabah, Lembaga Sukan Sabah serta Dewan Bandaraya Kota Kinabalu.

“Program ini turut menjadi pemangkin kepada pengukuhan jaringan kerjasama antara agensi di Persekutuan dan negeri serta sektor swasta ke arah kemampanan pembangunan negara melalui pendekatan kesihatan insaniah dan semangat perpaduan nasional,” menurut kenyataan itu.

Selain acara larian, pelbagai aktiviti turut dianjurkan seperti reruai pameran oleh beberapa agensi kerajaan dan Program Jualan Rahmah MADANI (bergerak) yang menawarkan barangan keperluan harian dengan diskaun istimewa kepada peserta.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan