BELANJAWAN 2025 > BERITA

Menteri-Menteri Luar ASEAN Ulangi Komitmen Terhadap Visi ASEAN 2045

11/07/2025 09:33 PM

KUALA LUMPUR, 11 Julai (Bernama) -- Menteri-Menteri Luar ASEAN mengulangi  komitmen mereka terhadap Visi ASEAN 2045: Masa Depan Kita Bersama yang menekankan kepentingan strategiknya sebagai pelan tindakan untuk merealisasikan Komuniti ASEAN yang berdaya tahan, inovatif, dinamik dan berteraskan rakyat.

Dalam Kenyataan Bersama Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) ke-58 yang dikeluarkan pada Jumaat, mereka menantikan pelaksanaan penuh dan berkesan visi itu, yang berperanan sebagai asas utama dalam memajukan usaha pembinaan Komuniti ASEAN.

“Kami turut mengulangi komitmen untuk mengekalkan stuktur serantau yang berteraskan ASEAN, terbuka, terangkum, telus dan berasaskan peraturan yang menjunjung undang-undang antarabangsa, serta memperkukuh kerjasama dan keterlibatan yang saling menguntungkan dengan rakan luar dalam empat bidang keutamaan Pandangan ASEAN mengenai Indo-Pasifik (AOIP) melalui mekanisme yang dipimpin oleh ASEAN,” menurut kenyataan itu.

Menteri-Menteri Luar ASEAN turut menyatakan harapan terhadap keputusan Kajian Akhir Penggal bagi Pelan Strategik Komuniti Politik-Keselamatan ASEAN (APSC) 2025, Pelan Tindakan Komuniti ASEAN (AEC) 2025, Pelan Komuniti Sosio-Budaya ASEAN (ASCC) 2025 dan  Pelan Induk Kesalinghubungan (MPAC) 2025, dengan matlamat menggabungkan pengajaran yang diperoleh ke dalam hala tuju Komuniti ASEAN pada masa hadapan.

Dalam usaha mengekalkan keamanan dan kestabilan serantau, blok itu mengulangi komitmen mereka terhadap penyelesaian pertikaian secara aman termasuk menghormati sepenuhnya proses undang-undang dan diplomatik tanpa menggunakan ancaman atau kekerasan, selaras dengan undang-undang antarabangsa seperti Konvensyen Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Laut 1982 (UNCLOS).

Dalam Kenyataan Bersama itu, Menteri-Menteri Luar ASEAN turut menegaskan kepentingan memperkukuh kapasiti institusi ASEAN dan penyelarasan antara pelbagai badan di dalamnya serta merujuk semula kepada Kenyataan Pemimpin ASEAN mengenai Memperkukuh Kapasiti dan Keberkesanan Institusi ASEAN dan Cadangan mengenai Memperkukuh Kapasiti dan Keberkesanan Institusi ASEAN.

“Sehubungan itu, kami menggalakkan peningkatan penyelarasan antara Organ dan Badan Sektoral ASEAN yang berkaitan bagi memastikan pelaksanaan berkesan langkah strategik dalam memperkukuh institusi di dalam Pelan Strategik APSC bagi Visi Komuniti ASEAN 2045,” menurut kenyataan itu.

Ia juga mengiktiraf usaha oleh Organ dan Badan Sektoral ASEAN serta menyambut baik inisiatif yang mendukung kemampan dan kemajuan serantau jangka panjang, serta menyokong usaha berterusan mereka dalam membangunkan dan menyelaraskan Pelan Kerja masing-masing bagi menyokong pelaksanaan ASEAN 2045: Masa Depan Kita Bersama.

“Kami mengulangi kepentingan mempertingkatkan sinergi antara ASEAN 2045: Masa Depan Kita Bersama dan Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 2030 (SDG 2030).

“Kami juga menekankan keperluan untuk kerjasama yang lebih kukuh dan terancang bagi mempercepat kemajuan ke arah ASEAN 2045: Masa Depan Kita Bersama dan SDG 2030, termasuk melalui kerja Pusat ASEAN bagi Kajian dan Dialog Pembangunan Mampan (ACSDSD) serta bagi melaksanakan secara menyeluruh dan berkesan Perjanjian Digital Global dan Deklarasi mengenai Generasi Masa Depan,” menurut Kenyataan Bersama itu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan