BELANJAWAN 2025 > BERITA

Trump Lawat China, Tarikh Akan Dimuktamadkan - Rubio

11/07/2025 09:13 PM

Oleh Samantha Tan

KUALA LUMPUR, 11 Julai (Bernama) -- Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump dijangka melawat China dengan kedua-dua pihak kini dalam proses menetapkan tarikh yang sesuai, kata Setiausaha Negara AS Marco Rubio.

Beliau berkata pertemuan kemuncak antara Trump dan Presiden Xi Jinping dijangka berlangsung, susulan pertemuan empat mata pertamanya dengan Menteri Luar China Wang Yi yang diadakan di sela-sela Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) ke-58 pada Jumaat.

“Presiden Trump dijemput untuk melawat China. Beliau berhasrat memenuhi jemputan itu, jadi kami akan bekerjasama untuk menetapkan tarikh yang sesuai.

“Saya yakin akan menjadi kenyataan kerana kedua-dua pemimpin itu mahu ia berlaku,” katanya.

Pada 5 Jun lepas, dilaporkan bahawa Trump dan Xi dalam perbualan telefon, telah bersetuju untuk mengadakan lawatan timbal balik serta mengarahkan pasukan masing-masing meneruskan rundingan dalam tempoh berkenaan.

Perbualan itu menandakan hubungan langsung pertama antara kedua-dua pemimpin, sejak Trump memulakan perang perdagangan dengan China pada Februari lepas.

Mengenai pertemuan selama satu jam bersama Wang, Rubio berkata ia berlangsung secara produktif dan positif.

“Ia lebih kepada pertemuan biasa, bukan rundingan rasmi. Penting untuk AS dan China mengadakan pertemuan yang produktif serta terus menjalinkan hubungan dan komunikasi secara tetap.

“Kami berpendapat pertemuan itu sangat positif dan berharap dapat membina kemajuan daripadanya untuk terus membawa kestabilan dalam hubungan dua hala. Saya percaya, jika itu berlaku ia akan memberi manfaat kepada dunia,” katanya.

Sementara itu, Rubio berkata pertemuan turut diadakan bersama Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Vietnam Bui Thanh Son.

"Hari ini juga merupakan ulang tahun ke-30 hubungan diplomatik antara AS dan Vietnam. Kami mahu memperingatinya bukan sekadar melalui pertemuan peringkat tinggi tetapi juga menerusi tindakan nyata,” katanya.

Rubio berkata AS turut menerima pengiktirafan dan penghargaan atas peranannya di rantau ini sepanjang berlangsung AMM ke-58 yang berakhir hari ini.

“Kami menjangkakan mesyuarat yang positif dan membuahkan hasil pada Oktober nanti,” katanya.

-- BERNAMA 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan