KUALA LUMPUR, 11 Julai (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengalu-alukan lebih banyak pelaburan dari United Kingdom (UK) khususnya dalam sektor semikonduktor dan infrastruktur hijau melalui Agenda Perindustrian Global (APG).
Pelawaan itu disuarakan oleh Anwar ketika menerima kunjungan hormat Setiausaha Luar UK, David Lammy di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya, hari ini.
“Malaysia menyambut baik kerjasama yang lebih erat dalam pelbagai bidang yang mencakupi pelaburan, peralihan tenaga, pendidikan, perubahan iklim, pertahanan, pendigitalan dan AI,” kata beliau menerusi hantaran di platform X.
Perdana Menteri menerima kunjungan hormat itu dalam semangat memperkukuh hubungan dua hala yang kini telah dinaik taraf kepada perkongsian strategik sejak pertemuan dengan Perdana Menteri UK Keir Starmer pada Januari lepas.
“Kami turut menzahirkan penghargaan terhadap peranan aktif UK sebagai Rakan Dialog ASEAN, khususnya dalam mendukung tindakan kemanusiaan di Myanmar dan menyeru gencatan senjata serta pelaksanaan Konsensus Lima Perkara (5PC)," kata beliau.
Anwar berkata hubungan Malaysia-UK semakin matang dan strategik, berteraskan nilai yang dikongsi bersama -- keadilan, kedaulatan undang-undang dan kemanusiaan sejagat.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial