KUALA LUMPUR, 11 Julai (Bernama-Sputnik/RIA Novosti) -- Menteri Luar Rusia Sergey Lavrov pada Jumaat menyifatkan tarif yang dikenakan oleh Amerika Syarikat ke atas negara lain sebagai satu bentuk sekatan.
“Negara-negara ASEAN menunjukkan minat untuk terus bekerjasama dengan Rusia, tanpa mengira perkembangan di Barat atau tindakan yang diambil oleh Amerika Syarikat dan sekutunya terhadap mereka.
“Hubungan persahabatan dengan Rusia telah lama terjalin sebelum pentadbiran semasa AS mula mengenakan sekatan. Tarif juga boleh dianggap sebagai bentuk sekatan,” katanya kepada pemberita di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.
Beliau berada di ibu negara bagi menghadiri mesyuarat peringkat tinggi sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-58 (AMM) yang dianjurkan Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025.
Lavrov turut menegaskan bahawa usaha Rusia menjalin hubungan lebih erat dengan ASEAN dan negara-negara BRICS bukanlah tindak balas terhadap mana-mana pihak.
“Namun jika diberi pilihan — sama ada berdagang secara adil tanpa penindasan, atau berdagang dengan pihak yang menggunakan ugutan — maka pilihannya jelas,” katanya.
Sementara itu, Presiden AS Donald Trump baru-baru ini mengumumkan beberapa pusingan tarif baharu ke atas pelbagai negara.
Pada Isnin, beliau mengumumkan tarif antara 25 hingga 40 peratus terhadap 14 negara termasuk Malaysia, selain menandatangani perintah eksekutif untuk melanjutkan penangguhan tarif timbal balik sehingga 1 Ogos.
Pada hari sama, menerusi platform Truth Social, Trump turut memaklumkan bahawa tarif sebanyak 25 peratus akan dikenakan ke atas import dari Jepun dan Korea Selatan bermula 1 Ogos.
Tarif tambahan turut diumumkan pada Rabu melibatkan enam lagi negara iaitu Algeria, Brunei, Iraq, Libya, Moldova dan Filipina.
Selain itu, Trump turut mengumumkan bahawa tarif sebanyak 50 peratus akan dikenakan ke atas barangan import dari Brazil, yang turut berkuat kuasa 1 Ogos.
-- BERNAMA-SPUTNIK/RIA NOVOSTI
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial