BELANJAWAN 2025 > BERITA

Harimau Malaya Lonjak Enam Anak Tangga Ranking FIFA, Pencapaian Terbaik Dalam Tempoh 19 Tahun

10/07/2025 06:48 PM

KUALA LUMPUR, 10 Julai (Bernama) -- Kedudukan Harimau Malaya melonjak enam anak tangga ke ranking ke-125 dunia berdasarkan kemas kini terbaharu Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) yang diumumkan hari ini.

Pencapaian itu merupakan yang terbaik diraih skuad negara dalam tempoh hampir dua dekad, sekali gus menyuntik semangat baharu menjelang aksi seterusnya dalam kempen Piala Negara-Negara Persatuan Bolasepak Asia Tengah (CAFA) 2025 yang dijadual bermula hujung bulan depan.

Perkembangan positif tersebut dikongsikan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menerusi hantaran di laman media sosial rasmi mereka.

Kedudukan ranking itu adalah yang terbaik dalam tempoh 19 tahun sejak kali terakhir berada pada kedudukan ke-125 dunia pada Februari 2006.

Lonjakan ranking itu disumbang menerusi dua keputusan memberangsangkan sebelum ini, iaitu seri 1-1 menentang Cape Verde dalam aksi persahabatan pada Mei lalu, serta kemenangan bergaya 4-0 ke atas Vietnam dalam perlawanan kelayakan Piala Asia bulan lepas.

Dalam kalangan negara Asia Tenggara, Thailand kekal sebagai pasukan terbaik serantau apabila menghuni tangga ke-102 dunia, diikuti Vietnam (113), Indonesia (118), manakala Malaysia (125).

Sementara itu, di peringkat global, Argentina terus mempertahankan kedudukan selaku pasukan nombor satu dunia, diikuti Sepanyol, Perancis dan England.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan