KUALA LUMPUR, 11 Julai (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini merakamkan ucapan takziah kepada Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia Datuk Dr Akmal Saleh atas pemergian bapanya.
Ahmad Zahid, menerusi hantaran di Facebook, menyifatkan pemergian insan yang dikasihi di pagi Jumaat, penghulu segala hari, adalah satu kehilangan yang sangat menyentuh hati.
“Di pagi Jumaat ini, saya menerima satu lagi perkhabaran duka mengenai pemergian ayahanda tercinta kepada Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh iaitu Allahyarham Cikgu Saleh Lempah yang telah kembali ke rahmatullah pagi tadi.
“Sebagai insan yang saya kenal rapat, saya memahami betapa besar dan dalamnya kasih Dr Akmal terhadap Allahyarham ayahandanya. Cikgu Saleh merupakan sumber ilham dan kekuatan perjuangan anakanda beliau dalam memimpin anak muda Malaysia,” katanya.
Beliau turut mendoakan semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat, diampunkan segala dosa dan ditempatkan dalam kalangan para solihin yang beroleh naungan rahmat Allah SWT.
“Kepada Dr Akmal dan seluruh ahli keluarga, saya doakan semoga diberikan ketabahan dan kekuatan dalam menempuh ujian yang amat berat ini.
“Insya-Allah, kasih seorang anak yang tidak pernah putus akan terus mengiringi roh ayahanda dalam doa dan amal jariah yang berpanjangan,” katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Ketua Wanita UMNO Bahagian Kuala Langat Rozana Kamarulzaman yang meninggal dunia pada 1.47 pagi tadi.
“Pemergian Allahyarhamah, yang juga mesra dikenali sebagai Ojane, merupakan kehilangan besar kepada keluarga, sahabat-sahabat perjuangan dan seluruh warga parti di peringkat akar umbi khususnya di Kuala Langat.
“Saya mendoakan agar seluruh keluarga yang ditinggalkan terus diberi kekuatan, ketabahan dan reda menghadapi kehilangan yang amat dirasai ini. Semoga roh Allahyarhamah ditempatkan dalam kalangan insan solehah dan beroleh jannah,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial