BELANJAWAN 2025 > BERITA

Aspirasi Pahang 1st, Gagasan Peneraju Pantai Timur - Wan Rosdy

11/07/2025 09:11 AM

KUANTAN, 10 Julai (Bernama) -- Aspirasi Pahang 1st merupakan gagasan yang mampu menjadikan negeri itu sebagai peneraju pantai timur, kata Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail. 

Berpaksikan kepimpinan yang berwawasan dan penyatuan rakyat, beliau berkata aspirasi tersebut mampu menjadikan Pahang sebagai negeri yang terkedepan dalam pembangunan, tadbir urus, kelestarian alam serta teguh dalam nilai, budaya dan agama.

“Sejak awal pentadbiran ini, kita telah menetapkan bahawa Aspirasi Pahang 1st bukan hanya slogan tetapi menjadi dasar negeri dalam semua bidang. Ia adalah wawasan dan cita-cita, ia juga semangat dan satu gagasan,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Aspirasi Pahang 1st di Dewan Tertutup SUKPA, di sini hari ini. 

Dalam pada itu, beliau berkata konsep Aspirasi Pahang 1st  merupakan penanda aras kepada kerajaan negeri bagi meletakkan daya saing dan inovasi sebagai nadi pembangunan negeri. 

Wan Rosdy berkata projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan Taman Perindustrian Halal merupakan manifestasi kerajaan negeri bagi memberi peluang pekerjaan bernilai tinggi dan meletakkan Pahang sebagai pusat pertumbuhan baharu ekonomi dan industri 4.0.

“Kerajaan negeri juga telah merangka Pelan Induk Negeri Ekonomi Pahang 2025–2030 atau PET30 sebagai langkah strategik bagi menyusun semula landskap ekonomi negeri…ia dijangka mampu meningkat pendapatan negeri hingga RM2 billion dalam lima hingga 10 tahun akan datang,” katanya. 

Dalam pada itu, beliau berkata aspirasi itu juga menetapkan pembangunan jati diri negeri melalui agama, warisan dan identiti kebangsaan serta menjadi tiang seri yang memegang utuh pembangunan masa depan.

“Mendepani era baharu ini, biarlah Pahang menjadi contoh kepada negeri yang maju namun berakar, moden tetapi bersantun, progresif tetapi berakhlak. Inilah wajah Pahang 1st,” katanya. 

Bagi melahirkan modal insan berjati diri, Wan Rosdy berkata pihaknya akan menubuhkan Akademi Pahang 1st sebagai wadah pembentukan rakyat berilmu, berintegriti, berdisiplin serta memiliki semangat kepimpinan dan cintakan negeri.

“Akademi ini akan melahirkan pemimpin akar umbi masa depan termasuk belia, mahasiswa dan penjawat awam muda melalui modul strategik meliputi patriotisme, kepimpinan, pemikiran kritis serta kemahiran komunikasi dan diplomasi negeri,” katanya.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan