BELANJAWAN 2025 > BERITA

Terengganu Bincang Dengan Kerajaan Persekutuan Pastikan Tod Di Stesen ECRL Beri Manfaat Maksimum

09/07/2025 03:14 PM

JERTIH, 9 Julai (Bernama) -- Kerajaan Negeri Terengganu akan berbincang dengan Kerajaan Persekutuan dalam memastikan Pembangunan Berorientasikan Transit (TOD) di enam stesen utama Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di negeri ini memberi manfaat maksimum kepada penduduk setempat.

Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata antara aspek yang akan diteliti ialah penyediaan infrastruktur asas, termasuk penambahbaikan jalan di kawasan sekitar stesen bagi menarik lebih ramai pengunjung.

“Dalam masa yang sama, kita juga akan berbincang dengan Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) dan agensi berkaitan agar pelaksanaan TOD dirancang dengan baik. Jika tiada pembangunan susulan, maka manfaat ECRL kepada rakyat akan berkurangan,” katanya kepada pemberita selepas melawat tapak TOD di Stesen ECRL Besut, di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif MRL Datuk Seri Darwis Abdul Razak dan Pengerusi Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri Datuk Hanafiah Mat.

Menurut Ahmad Samsuri, setakat Jun lepas, pembinaan ECRL di Terengganu telah mencapai tahap kemajuan 91.79 peratus, menjadikan ia negeri paling pantas siap berbanding Selangor, Pahang dan Kelantan.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut meminta semua pihak termasuk Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) di kawasan stesen ECRL agar menjadi ‘mata dan telinga’ pihak berkuasa sekiranya berlaku aktiviti mencurigakan, terutamanya melibatkan kecurian.

Katanya, langkah itu penting bagi mengelakkan insiden kecurian seperti kabel di jajaran ECRL yang boleh menjejaskan kelancaran projek.

Sementara itu, Darwis berkata pihaknya telah mengambil beberapa langkah kawalan keselamatan termasuk mendapatkan khidmat pengawal keselamatan dan menjalinkan kerjasama erat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang melakukan rondaan lebih kerap.

“Kita pantau isu ini dengan lebih teliti dan Alhamdulillah, kerjasama pelbagai pihak membantu memastikan kejadian kecurian tidak berulang.

“Apabila isu kecurian kabel dibangkitkan secara terbuka, kita dapat lihat peningkatan kesedaran dalam kalangan komuniti dan pihak berkaitan,” katanya.

Sebelum ini, MRL menzahirkan kebimbangan terhadap kes kecurian kabel yang dikesan di beberapa lokasi jajaran ECRL melibatkan Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke dilaporkan berkata Polis Diraja Malaysia perlu bertindak tegas kerana perbuatan itu boleh menjejaskan pelaksanaan projek secara keseluruhan.

 -- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan