BELANJAWAN 2025 > BERITA

KPKT Peruntukan RM34.2 Juta Bagi Inisiatif Pembangunan Di Sandakan

11/07/2025 01:19 AM

SANDAKAN, 10 Julai (Bernama) -- Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) meluluskan peruntukan RM34.2 juta untuk inisiatif pembangunan di sekitar Sandakan bagi tahun ini.

Menterinya Nga Kor Ming berkata projek berkenaan akan dilaksanakan melalui kawal selia agensi di bawah KPKT.

"Projek yang diluluskan membabitkan projek menaik taraf dan pembinaan sel tapak pelupusan sisa pepejal di Labuk di sini bernilai RM30 juta yang dijangka siap pada Ogos 2027.

"Projek lain, KPKT melalui Tabung Penyelenggaraan Perumahan Malaysia (TPPM) memperuntukan kos kontrak RM500,000 bagi kerja mengecat empat blok Apartment Taman Singapore dan hari ini RM500,000 lagi ditambah bagi pengecatan blok lain," katanya.

Nga yang dalam Program Sentuhan Kasih KPKT juga meluangkan masa turun padang meninjau projek membaik pulih Dewan Jalan Singapore di sini hari ini.

Beliau berkata projek yang diluluskan itu membabitkan pelaksanaan kerja baik pulih, pembersihan, naik taraf, memgecat serta membina semula penutup parit di dewan berkenaan bernilai RM400,000.

"KPKT juga meluluskan RM2 juta bagi kerja naik taraf termasuk penambahbaikan meja di empat pasar di sini iaitu Pasar Elopura, Pasar Kim Fung, Pasar Umum serta Pasar Sim-Sim.

"Di samping itu, KPKT turut meluluskan peruntukan masing-masing RM400,000 bagi pembinaan bumbung gelanggang bola keranjang di Taman Indah Jaya, serta menaik taraf gelanggang futsal di Program Perumahan Rakyat (PPR) Harmoni," katanya.

Nga dalam pada itu berharap projek yang dirancang dapat dilaksanakan mengikut jadual dan seterusnya merealisasikan pembangunan negara yang inklusif bagi menjamin kebajikan serta kesejahteraan rakyat.

Sementara itu, beliau berkata program Sentuhan Kasih KPKT menjelajah lebih 350 lokasi bagi menyantuni keperluan penduduk di negara ini.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan