TANAH MERAH, 11 Julai (Bernama) -- Isu penyalahgunaan dadah di Kelantan masih membelenggu negeri itu apabila berterusan mencatatkan jumlah statistik tertinggi, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata statistik yang dikeluarkan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) serta pihak Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), jelas menunjukkan masalah itu masih belum ditangani sebaiknya di negeri tersebut.
“Saya merasa agak terpukul kerana penyalahgunaan dadah di seluruh negara masih “dijuarai” Kelantan dan statistik ini turut disahkan oleh pelbagai pihak.
“Saya sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Antidadah Kebangsaan berpendapat, tidak wajar mana-mana pihak melepaskan tanggungjawab dan menganggap ia hanya tugas pihak lain,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Tanah Merah, di sini, hari ini.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah meminta semua pihak mengetepikan perbezaan politik, untuk bersama-sama menangani masalah dadah dan jenayah, khususnya negeri di bawah pembangkang.
“Marilah kita bersama-sama tangani masalah ini, walaupun keempat-empat negeri ini berbeza warna pentadbiran, kita ketepikan perbezaan. Kita tidak boleh hanya letakkan tanggungjawab kepada kerajaan negeri atau Persekutuan sahaja, semua pihak termasuk agensi penguatkuasaan mesti bersama selesaikan,” katanya.
Menyentuh mengenai aktiviti penyeludupan dadah di Kelantan, Ahmad Zahid berkata ia turut dipengaruhi faktor geografi negeri itu yang bersempadan dengan negara jiran.
“Selain kesedaran ibu bapa dan kempen untuk anak-anak, kerajaan negeri juga mesti ambil peduli.
Statistik sekarang memperlihatkan umur penagih dadah semakin menurun, sehingga ada yang mula terjebak seawal usia 10 tahun,” katanya.
Sementara itu mengulas kenyataan Naib Presiden PAS Datuk Mohd Amar Nik Abdullah yang mendakwa pembangunan dan peruntukan di Kelantan telah disekat oleh Kerajaan Pusat sejak tahun 1990 hingga kini, Ahmad Zahid menegaskan perkara tersebut tidak benar sama sekali.
Beliau berkata Kelantan sering mendapat perhatian Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada setiap lawatan rasminya ke negeri itu.
“Ini saya dengar sendiri dengan telinga saya, apabila berlaku kejadian keruntuhan cerun di Kelantan, Perdana Menteri (Anwar) terus membuat keputusan memberikan bantuan serta-merta.
“Bantuan itu diminta kepimpinan Kelantan, begitu juga dalam kes banjir terbesar sebelum ini, Kerajaan Persekutuan tetap bantu Kelantan,” katanya.
Beliau yang juga Presiden UMNO berkata kebanyakan projek pembangunan di Kelantan, sebenarnya bergantung kepada dana daripada Kerajaan Persekutuan dan hakikat itu harus diakui oleh pimpinan negeri.
“Kalau tiada peruntukan daripada Kerajaan Pusat, saya fikir Kelantan akan lebih tercorot dari segi pembangunan. Jadi jangan cuba putar belit fakta ini untuk meracuni pemikiran rakyat serta menyemai kebencian dalam kalangan ahli dan penyokong mereka.
“Saya harap beliau (Mohd Amar) mendapatkan maklumat ini daripada kepimpinan beliau,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial