KUALA LUMPUR, 10 Julai (Bernama) -- Galeria Sri Perdana akan dibuka semula kepada orang ramai mulai esok selepas menjalani proses naik taraf sejak 2023, sekali gus mengembalikan peranannya sebagai destinasi warisan yang mengetengahkan sejarah kepimpinan negara.
Ketua Pengarah Arkib Negara Datuk Jaafar Sidek Abdul Rahman berkata projek menaik taraf dan memulihara peragaan bangunan galeria itu menelan belanja RM12.76 juta, yang diluluskan melalui Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11).
"Kerja-kerja yang dilaksanakan melibatkan pendawaian baharu bagi sistem penyaman udara dan lampu, pengubahsuaian ruang galeri yang lebih menarik, pembaikan struktur dalam dan luar bangunan, serta penyelenggaraan landskap," katanya ketika berucap merasmikan Majlis Pembukaan Semula Galeria Sri Perdana di sini hari ini.
Jaafar berkata Galeria Sri Perdana dan lain-lain Arkib Memorial yang dikendalikan oleh Arkib Negara Malaysia diharap mampu menjadi pusat pelancongan pendidikan yang efektif dengan menyajikan informasi sejarah, budaya dan ketokohan pemimpin.
Galeria tersebut ditutup pada 2020 hingga 2021 berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum disambung mulai 1 Jan 2023 untuk melaksanakan kerja-kerja naik taraf yang selesai sepenuhnya pada 17 Dis lepas.
Galeria Sri Perdana dibuka setiap Selasa hingga Ahad, dari 9 pagi hingga 5 petang dan ditutup pada setiap Isnin kecuali pada musim cuti persekolahan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial