KUALA LUMPUR, 13 Julai (Bernama) -- Atlet olahraga kebangsaan G. Sivaneshwaran mencipta kejutan apabila menjuarai acara lelaki SCORE Marathon 2025 di Putrajaya hari ini, dalam penampilan sulungnya di pentas maraton.
Beraksi buat kali pertama dalam maraton penuh sejauh 42 kilometer, Sivaneshwaran menampilkan larian bertenaga, terutama di kilometer terakhir, sebelum menamatkan perlumbaan dengan catatan masa 2 jam 48 minit 8 saat (2:48:08).
Catatan itu cukup untuk menewaskan dua lagi peserta – Lim Kok Leong (2:51:00) dan Muhamad Naqib Haikal Abdul Rahman (2:51:28) – yang masing-masing menamatkan saingan di tempat kedua dan ketiga.
Sivaneshwaran, yang pernah merangkul pingat gangsa dalam acara 10,000 meter di Sukan Universiti ASEAN 2018, berkata kejayaan tersebut adalah hasil latihan intensif selama beberapa bulan.
“Saya hanya mahu melayakkan diri ke satu perlumbaan maraton di Vietnam Disember ini yang disertai atas tajaan kelab saya. Mereka menetapkan syarat untuk saya mencatat masa bawah tiga jam.
“Segala usaha keras saya berbaloi. Saya berlatih tiga hingga empat bulan, melakukan banyak larian jarak jauh dan menghabiskan masa di gimnasium. Ia satu kepuasan yang sukar digambarkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, dalam kategori wanita, pelari tempatan Lee Siok Chin membuktikan kemampuannya apabila dinobatkan sebagai pelari wanita terpantas dengan catatan masa 3 jam 17 minit 17 saat (3:17:17).
Beliau meninggalkan pencabarnya seawal perlumbaan dan mengekalkan rentak konsisten sehingga ke garisan penamat, menewaskan pelari Vietnam, Vu Khanh Linh (3:21:54), di tempat kedua serta wakil negara, Diana Qistina Redza (3:35:53), di tempat ketiga.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial