KUALA LUMPUR, 10 Julai (Bernama) -- Malaysia kini mempergiat usaha untuk meningkatkan perdagangan serantau serta membina asas perundangan kukuh bagi teknologi baharu termasuk kecerdasan buatan (AI) selaras dengan peranannya sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata Malaysia terus meliberalisasikan pasarannya melalui inisiatif seperti Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura serta perkongsian strategik dengan Persatuan Perdagangan Bebas Eropah (EFTA) dan China.
“ASEAN telah mencapai kemajuan bermakna dalam menghapuskan tarif dalam kalangan negara anggotanya.
“Langkah seterusnya ialah mengurangkan halangan bukan tarif dan menambah baik keselarasan peraturan bagi memastikan perdagangan yang lancar,” katanya dalam ucaptama pada Mesyuarat Perundangan Serantau SCG 2025 Asia dan Lingkungan Pasifik di sini hari ini.
Beliau berkata Malaysia sedang melaksanakan rerformasi perundangan yang penting termasuk mengkaji semula Akta Kontrak 1950 dan Akta Jualan Barangan 1957 serta merangka Akta Insolvensi Rentas Sempadan yang selaras dengan piawaian Suruhanjaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Perdagangan Antarabangsa (UNCITRAL).
Azalina berkata daripada segi digital, kerajaan sedang merangka undang-undang AI komprehensif yang memfokus kepada etika dan tadbir urus bagi menyokong inovasi yang selamat, bertanggungjawab dan berdaya saing.
“Inisiatif ini mencerminkan pendirian proaktif Malaysia dalam mengawal selia AI bagi memastikan kita seiring dengan kemajuan teknologi dan pada masa sama, melindungi kepercayaan awam.
“Kerangka perundangan yang dirancang ini melengkapi usaha lebih luas dalam reformasi tadbir urus, antirasuah dan hak asasi manusia bagi meletakkan Malaysia sebagai negara yang kukuh daripada segi undang-undang serta berdaya saing daripada segi ekonomi,” katanya.
SCG Legal adalah rangkaian global firma-firma guaman terkemuka dan persidangan ini menghimpunkan pemimpin bidang undang-undang serta perniagaan serantau bagi membincangkan isu-isu perundangan rentas sempadan serta menggalakkan kerjasama strategik di seluruh rantau Asia Pasifik.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial