LAHAD DATU, 10 Julai (Bernama) -- Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menyasarkan lebih 300,000 penyertaan pada Program Minggu Sains Negara 2025.
Timbalan Menterinya Datuk Mohammad Yusof Apdal berkata melalui program itu, lebih 100 aktiviti dan pengisian menarik berteraskan sains, teknologi dan inovasi ditawarkan kepada pengunjung.
"Bagi tahun ini MOSTI meneruskan penganjuran Minggu Sains Negara 2025 dengan pendekatan lebih menyeluruh dan bersasar melalui tiga kaedah utama iaitu penganjuran Karnival Minggu Sains Negara (MSN Karnival) secara fizikal di enam zon termasuk di Lahad Datu, Sabah.
"Kaedah kedua melalui pelaksanaan Kembara Minggu Sains Negara (MSN Kembara) ke sekolah luar bandar melalui program Kembara Sains Borneo serta Rehlah Sains, dan terakhir adalah inisiatif Tajaan Minggu Sains Negara (MSN Taja) iaitu menyokong agensi kerajaan, swasta dan semua pihak terlibat dalam membudayakan sains," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Karnival Minggu Sains Negara Zon Sabah di Dewan Perdana di sini hari ini.
Mohammad Yusof berkata Minggu Sains Negara merupakan antara inisiatif strategik MOSTI dalam mendekatkan sains, teknologi dan inovasi kepada rakyat selaras dengan aspirasi Malaysia sebagai negara berteknologi tinggi menjelang 2030.
Bercakap kepada pemberita selepas majlis perasmian berkenaan, beliau berkata Karnival Minggu Sains Negara merupakan program pelengkap kepada kokurikulum sedia ada di sekolah yang disediakan Kementerian Pendidikan.
"Pendekatan secara ‘hands-on’ dan interaktif akan menarik minat pengunjung, setakat pagi tadi difahamkan lebih 200 pelajar sekolah hadir ke Karnival Minggu Sains Negara, (membuktikan) rakyat semakin cakna dengan sains, teknologi dan inovasi," katanya.
Sementara itu, pelajar Tahun Empat Amalania Mohd Ridhwan Wafi menyifatkan pengalaman berkunjung ke karnival itu sebagai menyeronokkan, apatah lagi dia sememangnya meminati mata pelajaran sains di sekolah.
"Hari ini, saya dan lima rakan sekolah dengan ditemani seorang guru berkunjung karnival ini dan dapat melihat satu daripada subjek sains yang saya belajar di sekolah iaitu ‘dash robot’. Sebelum ini saya belajar dan melihat robot ini dalam telefon sahaja, tapi hari ini secara fizikal," katanya.
Bagi pelajar Tingkatan Tiga Sekolah Menengah Sains (SMS) Lahad Datu, Qistina Nabila Jamri pula, dia mendapat pengetahuan baharu berkaitan kecerdasan buatan (AI) dalam bidang perubatan.
"Saya minat subjek sains di sekolah dan mendapat markah tertinggi ujian baru-baru ini. Belajar sains bukan hanya untuk bijak tetapi juga mengajar kita tentang kemahiran hidup, saya harap karnival seumpama ini diteruskan di masa hadapan," katanya.
Guru taska Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) Kampung Telisai, Tungku di sini, Soffiah Harun berkata Karnival Minggu Sains Negara mampu memupuk rasa cinta kanak-kanak melalui literasi sains.
"Hari ini saya dan dua rakan setugas membawa 17 kanak-kanak taska berumur tiga dan empat tahun ke karnival pagi ini agar anak-anak kecil ini dapat didedahkan dengan budaya sains.
"Sekolah kami terletak lebih 100 kilometer dari bandar, kami bertolak dari sekolah pada 7.50 pagi dan tiba di sini 9.20 pagi. Kesemua anak-anak ini cukup gembira dengan pelbagai persembahan sains, teknologi dan inovasi yang ada di program ini," katanya.
Antara aktiviti menarik yang diadakan pada program itu seperti trivia sains, dunia minda, Ai4Belia, persembahan sains (U-Science UMS), ‘the insect lab: touch, learn, discover’, dan ceritera sebalik radas: teknologi kepintaran buatan kawan@lawan.
Penganjuran Minggu Sains Negara mendapat sokongan daripada Planetarium Negara, Akademi Sains Malaysia, Petrosains Discovery Center Sdn Bhd dan penaja utama Yayasan MR DIY.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial