SAO PAULO, 10 Julai (Bernama-Xinhua) -- Presiden Brazil Luiz Inacio Lula da Silva pada Rabu berkata sebarang langkah unilateral untuk menaikkan tarif akan dibalas berdasarkan undang-undang timbal balik ekonomi Brazil, lapor Xinhua.
“Merujuk kepada kenyataan terbuka oleh Presiden Amerika Syarikat Donald Trump yang disiarkan di media sosial pada petang Rabu, adalah penting untuk ditegaskan: Brazil adalah negara berdaulat dengan institusi yang bebas dan tidak akan menerima tunjuk ajar oleh sesiapa pun,” kata Lula di X.
“Maklumat ini tidak benar, khususnya berkaitan hubungan perdagangan antara Brazil dan Amerika Syarikat berhubung dakwaan defisit yang kononnya dialami Amerika. Statistik kerajaan Amerika Syarikat sendiri mengesahkan negara itu mencatat lebihan perdagangan barangan dan perkhidmatan dengan Brazil sebanyak US$410 bilion dalam tempoh 15 tahun lepas,” katanya.
Naib Presiden Brazil Geraldo Alckmin pada Rabu berkata adalah “tidak adil” untuk Trump mengenakan tarif 50 peratus ke atas produk Brazil.
“Saya tidak nampak sebab untuk menaikkan tarif terhadap Brazil. Brazil bukan masalah kepada Amerika Syarikat; adalah penting untuk saya tegaskan perkara ini. Amerika Syarikat memang mempunyai defisit perdagangan, tetapi mencatat lebihan dengan Brazil. Daripada 10 produk yang paling banyak mereka eksport ke Brazil, lapan dikenakan kadar tarif sifar, tanpa cukai,” kata Alckmin dalam kenyataan.
Trump pada petang Rabu mengumumkan bahawa tarif sebanyak 50 peratus akan dikenakan ke atas barangan import dari Brazil, berkuat kuasa pada 1 Ogos.
-- BERNAMA-XINHUA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial