BELANJAWAN 2025 > BERITA

Menara Kuala Lumpur Bakal Disinari Cahaya Biru Tanda Sokongan Perpaduan

10/07/2025 03:49 PM

KUALA LUMPUR, 10 Julai (Bernama) -- Menara Kuala Lumpur bakal disinari dengan cahaya lampu berwarna biru pada 18 dan 19 Julai ini sebagai tanda sokongan kepada Sambutan Minggu Perpaduan Peringkat Kebangsaan 2025.

Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang berkata simbolik cahaya berwarna biru di Menara Kuala Lumpur itu adalah bagi menandakan semangat perpaduan dan keharmonian antara kaum di Malaysia.

“Kementerian Perpaduan Negara (KPN) berterima kasih atas sokongan yang ditunjukkan oleh Menara Kuala Lumpur sebagai rakan strategik KPN dalam mempromosikan Sambutan Minggu Perpaduan Peringkat Kebangsaan tahun ini,” katanya dalam kenyataan bersama Menara Kuala Lumpur hari ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif LSH Service Master Khairil Faizal Othman berkata pihaknya selaku pengendali Menara Kuala Lumpur menyokong usaha yang ditunjukkan oleh Kementerian Perpaduan Negara dalam menyebarluaskan kepentingan perpaduan dalam kalangan masyarakat di negara ini.

“Dengan menerangi mercu tanda Kuala Lumpur, kami dapat menyampaikan mesej kepada rakyat Malaysia bahawa perpaduan ialah tanggungjawab bersama,” katanya dalam kenyataan sama.

Sambutan Minggu Perpaduan Peringkat Kebangsaan ialah acara tahunan Kementerian Perpaduan Negara yang bertujuan menyemarakkan semangat perpaduan serta memperkukuh pemahaman dan penghayatan terhadap kepelbagaian budaya dalam kalangan rakyat Malaysia.

Sambutan tahun ini akan diadakan di pekarangan Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang, dari 17 hingga 20 Julai 2025.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan