BAGAN SERAI, 10 Julai (Bernama) -- Kerajaan Negeri Perak akan memohon kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) supaya kuota bekalan beras kepada pengilang, khususnya pengilang bumiputera ditambah bagi menampung keperluan semasa dan menjamin keterjaminan bekalan makanan negara.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan negeri Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata langkah itu penting bagi memastikan pengilang besar dan kecil dapat bekerjasama dalam memulihkan industri beras serta menjamin bekalannya sentiasa stabil dan mencukupi.
"Sebagai contoh, di Perak kita ada pengilang Yop Zainan Sdn Bhd, sebuah syarikat yang telah beroperasi selama 54 tahun dan kini diuruskan oleh generasi ketiga. Syarikat ini hanya mempunyai kuota 300 tan metrik sebulan, yang masih belum mencukupi walaupun untuk pasaran di dalam negeri.
"Perkara ini akan saya bawa kepada perhatian Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu dalam siri lawatan beliau ke Perak minggu hadapan, supaya pengilang di negeri ini yang layak, diberikan pertimbangan untuk penambahan kuota hingga 500 tan metrik sebulan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Gudang Beras Yop Zainan di Kampung Masjid Batu, Kuala Kurau, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd Zolkafly berkata hasrat itu selaras dengan titah Sultan Perak Sultan Nazrin Shah supaya usaha menjamin keterjaminan makanan terus diperkukuh.
"Baginda menzahirkan keprihatinan supaya aspek keterjaminan makanan sentiasa diberikan perhatian sewajarnya dan tidak hanya tertumpu kepada bekalan makanan di Perak semata-mata, malah berpotensi untuk dieksport ke negeri-negeri lain.
"Selaras dengan Pelan Perak Sejahtera 2030, kerajaan negeri sedang menggandakan pelbagai usaha bagi memperkukuh sekuriti makanan menerusi pelbagai inisiatif yang sedang dan akan dilaksanakan," katanya.
Beliau turut memaklumkan cadangan untuk mengangkat produk tempatan, iaitu Beras Baiduri Cap Gajus keluaran Yop Zainan Sdn Bhd sebagai produk beras rasmi negeri Perak.
"Saya akan bawa perkara ini ke Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) untuk dibincangkan dan sekiranya dipersetujui, kita akan persembahkan kepada Sultan Nazrin Shah untuk mendapat perkenan supaya ia dijenamakan semula sebagai 'Beras Perak'.
"Jika proses berjalan lancar, kita bercadang untuk memperkenalkannya secara rasmi bersempena dengan Perak Agrofest yang dijadualkan berlangsung dari 26 hingga 28 Sept ini," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial