KOTA KINABALU, 7 Julai (Bernama) -- Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah akan meningkatkan produktiviti tanaman padi di enam daerah utama di negeri itu, persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah diberitahu hari ini.
Pembantu Menterinya Hendrus Anding berkata daerah tersebut melibatkan Kota Belud, Kota Marudu, Tuaran, Tambunan, Keningau dan Papar, dengan kawasan sawah seluas 121.4 hektar di Tambunan telah dikenal pasti oleh Lembaga Pertanian Sabah (LPBS) sebagai projek perintis pertanian padi berhasil tinggi secara moden.
“Projek perintis ini akan menggunakan automasi dan mekanisasi sepenuhnya serta pengurusan air berjadual. Kementerian melalui Jabatan Pertanian melaksanakan pelbagai inisiatif bagi meningkatkan produktiviti serta kualiti hasil pertanian seperti buah-buahan, kopi dan padi di negeri ini.
“Program Skim Pengeluaran Padi Bermutu turut dilaksanakan melalui pembangunan ladang satelit pengeluaran benih, khususnya variasi TR8 yang disokong oleh tiga pusat pengeluaran benih padi di Papar, Tenom dan Kota Belud," katanya.
Beliau berkata demikian menjawab soalan lisan Datuk Rubin Balang (GRS-Kemabong) yang bertanya tentang usaha kementerian itu dalam meningkatkan hasil tanaman terutama buah-buahan, kopi dan padi di Sabah.
Hendrus berkata kementerian itu juga melaksanakan projek pemulihan tanah sawah terbiar seluas 7,392 hektar secara berperingkat, dengan 437.57 hektar telah berjaya dipulihkan pada tahun lepas.
“Kempen Penanaman Dua Musim Setahun turut dilaksanakan di kawasan sawah terpilih menggunakan paket teknologi Rice Check dan Sistem Pengurusan Ladang Berpusat," katanya.
Beliau berkata pihaknya juga telah melancarkan Revolusi Ekonomi Pertanian Luar Bandar Peringkat Negeri Sabah pada 28 April lepas di Tambunan, dengan objektif utama untuk meningkatkan produktiviti hasil pertanian dan keterjaminan makanan melalui penglibatan masyarakat yang lebih meluas dalam pertanian.
Hendrus berkata inisiatif mekanisasi dan automasi pertanian turut diperluas melalui penggunaan teknologi pertanian moden seperti jentera pembajak, jentuai, dron dan Internet Benda (IoT) bagi meningkatkan kecekapan operasi ladang.
"Pendekatan ini bukan sahaja membantu mengatasi kekurangan buruh malah dapat meningkatkan ketepatan serta keselamatan dalam aplikasi input pertanian seperti semburan baja dan racun," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial