BANDARAYA GAZA/ISTANBUL, 10 Julai (Bernama-Anadolu) -- Sekurang-kurangnya 28 orang awam terbunuh manakala puluhan lagi cedera dalam serangan Israel sebelum subuh di Semenanjung Gaza pada Khamis, lapor Anadolu Ajansi (AA) memetik sumber perubatan.
Tentera Israel menyerang sekumpulan orang awam yang sedang menunggu bantuan makanan berhampiran sebuah pusat rawatan perubatan di Deir al-Balah, mengorbankan 13 orang kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, serta mencederakan ramai yang lain, menurut sumber perubatan kepada Anadolu.
Dalam kejadian berasingan, empat orang daripada keluarga yang sama terbunuh dalam serangan Israel yang menyasarkan rumah mereka di kem pelarian Bureij di tengah Semenanjung Gaza.
Dua rakyat Palestin turut terbunuh manakala 10 lagi cedera dalam serangan dron Israel di kem pelarian Nuseirat.
Di selatan Semenanjung Gaza, tentera Israel membunuh lima orang, termasuk dua kanak-kanak, dan mencederakan 20 yang lain dalam serangan ke atas khemah yang menempatkan penduduk Palestin yang kehilangan tempat tinggal di kawasan Al-Mawasi, Khan Younis.
Seorang ibu bersama tiga anaknya turut terbunuh apabila tentera Israel menyerang rumah mereka di Khan Younis. Lebih 20 orang cedera dalam serangan sama.
Tentera Israel telah membunuh hampir 57,700 rakyat Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, di Gaza sejak Oktober 2023. Pengeboman tanpa henti itu telah memusnahkan wilayah itu serta menyebabkan kekurangan bekalan makanan dan penularan penyakit.
Pada November lalu, Mahkamah Jenayah Antarabangsa telah mengeluarkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanannya Yoav Gallant atas dakwaan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan di Gaza.
Israel juga berdepan kes genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa berhubung perangnya di wilayah itu.
-- BERNAMA-ANADOLU
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial