BELANJAWAN 2025 > BERITA

Malaysia-Sri Lanka Sepakat Kukuh Hubungan Dua Hala - Anwar

10/07/2025 03:31 PM

KUALA LUMPUR, 10 Julai (Bernama) -- Malaysia dan Sri Lanka sepakat untuk terus memperkukuh kerjasama dua hala merangkumi bidang perdagangan, pelancongan, pendidikan, serta tenaga kerja mahir, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata perkara itu dibincangkan semasa menerima kunjungan hormat Menteri Luar, Pekerjaan Asing dan Pelancongan Sri Lanka Vijitha Herath bersempena Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-58 (AMM), yang sedang berlangsung di Kuala Lumpur.

“Hubungan erat ini bukan sahaja membawa manfaat kepada kedua-dua negara, tetapi juga menyumbang kepada kestabilan dan pembangunan serantau,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Anwar turut menyatakan penghargaan terhadap sumbangan berterusan Sri Lanka dalam membentuk masa depan rantau yang lebih inklusif, aman dan sejahtera.

Beliau berkata Malaysia akan terus bekerjasama rapat dengan Sri Lanka demi mencapai kemajuan bersama, bukan sahaja untuk rakyat kedua-dua negara, malah memperkukuh komuniti ASEAN yang lebih bersatu, makmur dan berdaya tahan.

AMM ke-58 dan mesyuarat berkaitan, yang diadakan di bawah Kepengerusian ASEAN Malaysia 2025 bertemakan “Keterangkuman dan Kemampanan”, menyaksikan 24 mesyuarat pada peringkat menteri melibatkan Rakan Dialog ASEAN dan Rakan Dialog Sektoral.

Mesyuarat peringkat tinggi yang berlangsung selama empat hari itu menghimpunkan kira-kira 1,500 perwakilan termasuk Menteri-Menteri Luar ASEAN, Timor-Leste, Rakan Dialog ASEAN, peserta Forum Serantau ASEAN (ARF), Rakan Dialog Sektoral serta para pegawai kanan Sekretariat ASEAN.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan