BELANJAWAN 2025 > BERITA

MARGMA Gesa Rundingan Tarif Dengan AS Berkaitan Kenaikan Duti Sarung Tangan

10/07/2025 03:25 PM

KUALA LUMPUR, 10 Julai (Bernama) -- Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA) menggesa kerajaan segera memulakan rundingan tarif mengikut sektor tertentu dengan Amerika Syarikat (AS) berikutan keputusan Washington untuk menaikkan duti import ke atas sarung tangan getah kepada 25 peratus mulai 1 Ogos 2025.

Presidennya, Oon Kim Hung berkata ahli-ahlinya bersedia untuk menyokong usaha kerajaan dalam mengadakan rundingan dengan AS bagi mendapatkan pengecualian atau sekurang-kurangnya mengekalkan kadar tarif sedia ada sebanyak 10 peratus.

“Sarung tangan ini bukan barangan mewah tetapi bekalan perubatan yang penting. Tarif sebanyak 25 peratus akan mengganggu rantaian bekalan, meningkatkan kos penjagaan kesihatan dan menjejaskan keselamatan pesakit,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Industri sarung tangan Malaysia telah bekerjasama rapat dengan Lembaga Getah Malaysia (LGM) serta Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) untuk membendung penyalahgunaan penghantaran serta mengekalkan reputasi negara dalam pengeluaran yang berkualiti dan bertanggungjawab.

MARGMA menggesa perunding perdagangan Malaysia untuk mendapatkan pertimbangan khusus mengikut sektor yang sama diberikan kepada industri strategik lain untuk memastikan akses berterusan penyedia penjagaan kesihatan AS terhadap sarung tangan buatan Malaysia.

Malaysia membekalkan hampir separuh daripada permintaan AS untuk sarung tangan getah asli dan nitril — produk penjagaan kesihatan yang penting tertakluk kepada piawaian ketat Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan (FDA) AS.

Permintaan AS diunjurkan oleh MITI mencecah US$4.17 bilion menjelang 2030 dan MARGMA mengingatkan tarif yang lebih tinggi boleh menjejaskan penjagaan pesakit serta meningkatkan kos hospital dan penyedia penjagaan kesihatan lain. (US$1 = RM4.24).

“Pengeluar sarung tangan Malaysia telah menunjukkan komitmen mereka terhadap pasaran AS. Misalnya, Supermax Corporation Bhd telah melabur US$350 juta dalam kemudahan pengeluaran di Texas, menunjukkan dedikasi jangka panjang industri kita untuk menyokong penjagaan kesihatan AS,” kata Oon.

Beliau berkata MARGMA menegaskan komitmennya terhadap bekalan global yang mampan dan berharap hasil rundingan tarif dapat mengimbangi perdagangan yang adil dengan keutamaan kesihatan awam di kedua-dua negara.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan